Terkini! Virus maut Marburg muncul di Ghana

ACCRA, Ghana – Dua orang di Ghana dilaporkan meninggal dunia selepas dijangkiti virus yang sangat mudah berjangkit dan menyebabkan gejala serius seperti demam berdarah Ebola, lapor akhbar Mirror UK kelmarin.

Marburg merupakan virus demam berdarah daripada keluarga yang sama dengan Ebola. Kadar kematian akibat kedua-dua penyakit itu adalah tinggi.

Dua pesakit pertama Marbug itu dilaporkan telah meninggal dunia, manakala risiko kematian akibat virus itu mencecah 88 peratus.

Ini adalah kali pertama virus Marburg dikesan di Ghana dan merupakan wabak demam Marburg kedua di Afrika Barat.

Kedua-dua pesakit dikesan di wilayah Ashanti, selatan Ghana hanya selepas mereka meninggal dunia.

Perunding penyakit berjangkit Hospital Universiti Diraja Liverpool, Dr. Tom Fletcher memberitahu akhbar The Daily Telegraph bahawa kegagalan mengesan penyakit itu lebih awal menyebabkan pekerja-pekerja kesihatan terdedah kepada jangkitan dan mungkin juga terdapat kes yang gagal dikesan.

Virus Marburg disebarkan kepada manusia melalui kelawar dan merebak melalui sentuhan dengan cecair badan pesakit.

Kedua-dua pesakit mempunyai gejala biasa termasuk cirit-birit, demam, loya dan muntah sebelum meninggal dunia di hospital, demikian kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pesakit selalunya akan mengalami pendarahan teruk dalam tempoh tujuh hari termasuk pada gusi, hidung dan kemaluan.

WHO juga menyatakan bahawa simptom virus Marburg menyebabkan pesakit kelihatan ‘seperti mayat hidup’ dengan mata cengkung dan wajah lesu melampau. – Agensi

Terkini

Berita Berkaitan