Virus Nil Barat dikatakan menular di AS

WASHINGTON – Pegawai-pegawai kesihatan awam di Amerika Syarikat (AS) memberi amaran mengenai virus Nil Barat yang kini menular di seluruh negara itu, lapor akhbar New York Post.

Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Manusia  mengumumkan kes pertama virus bawaan nyamuk itu dicatatkan di negeri Iowa, yang melibatkan seorang warga emas berusia antara 61 hingga 80 tahun di daerah Plymouth.

“Cuaca musim panas menyebabkan ramai penduduk melakukan aktiviti luar, seterusnya meningkatkan risiko terkena gigitan nyamuk.

“Gigitan nyamuk yang membawa virus itu menjadi punca utama manusia dijangkiti virus serupa,” kata jabatan berkenaan.

Data daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) menunjukkan terdapat 13 kes virus Nil Barat tahun ini di seluruh AS setakat 13 Jun.

Kes-kes tersebut dilaporkan di negeri Oregon, Arizona, Wyoming, Nebraska, Illinois, Louisiana, Georgia, Carolina Selatan dan Pennsylvania. Empat daripada semua kes berlaku di Arizona.

Kes-kes virus Nil Barat berlaku ketika musim nyamuk bermula iaitu sekitar musim panas dan berterusan hingga musim luruh.

Tiada vaksin atau ubatan untuk merawat virus itu setakat ini, dengan sekitar satu daripada lima orang yang dijangkiti akan mengalami demam dan beberapa simptom lain, selain satu dalam 150 pesakit berisiko mengalami keadaan serius serta membawa maut. – Agensi

Terkini

Berita Berkaitan