Akhirnya kereta terbang memang wujud, tempahan kini dibuka kepada umum..

SAN MATEO, CALIFORNIA  –  Sebuah syarikat pengeluar kereta terbang  di  California kini membuka tempahan awal kepada orang ramai untuk memiliki kenderaan berkuasa elektrik tersebut, lapor akhbar New York Post semalam.

Kereta terbang  dibina syarikat Alef Aeronautics itu dilaporkan telah menerima Pensijilan Kelayakan Udara Khas daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA). Ini bermaksud, Alef Aeronautics   dibenarkan melakukan ujian darat dan udara membabitkan kenderaannya.

Kereta elektrik sepenuhnya (dengan pilihan hidrogen untuk harga lebih tinggi) itu merupakan kenderaan berkelajuan rendah. Ia memiliki jarak pemanduan  321 kilometer di jalan raya dan muat diletakan di dalam garaj biasa.

Pada masa yang sama, kereta itu boleh dilancarkan secara menegak ke udara dengan jarak penerbangan 177 kilometer, demikian menurut laman web Alef Aeronautics.

Kereta dinamakan Model A itu boleh terbang mengatasi halangan sehingga tiba di destinasi yang dituju.

“Pemandu dan kabin distabilkan oleh reka bentuk kabin berputar gimbal yang unik.

“ Kereta ini mampu mengelakkan  kesesakan lalu lintas, terbang ke  mana-mana arah dan dalam masa yang  sama, menyediakan  pemandangan  180 darjah untuk penerbangan yang selamat dan menyeronokkan,” kata Alef Aeronautics.

Mereka yang berminat boleh menempah kereta dua tempat duduk itu pada harga sekitar  AS$300,000 (RM1.4 juta) seunit. – Agensi

Terkini

Berita Berkaitan