Sah Russia sudah wujudkan vaksin Covid, pengeluaran besar-besaran September ini.

Media antarabangsa melaporkan bahawa Rusia mengumukan telah mendaftarkan vaksin COVID-19, biarpun terdapat gesaan supaya tidak berbuat demikian sehingga ujian klinikal selesai.

Menurut Moscow Times, Presiden Vladimir Putin mengumumkan vaksin berkenaan telah didaftar manakala pengeluaran besar-besaran dijangka bermula pada September ini, diteruskan dengan pemvaksinan berskala besar pada Oktober.

Isnin lalu, Persatuan Organisasi Ujian Klinikal (ACTO) menggesa kerajaan agar menjalankan lebih banyak ujian klinikal sebelum pendaftaran vaksin.

Pun begitu, gesaan itu diketepikan Timbalan Ketua Pengawas Kesihatan, Perkhidmatan Persekutuan untuk Pengawasan dalam Penjagaan Kesihatan (Roszdravnadzor), Valentina Kosenko yang mendakwa vaksin tersebut tidak menyebabkan kesan sampingan yang serius.

“ACTO terus membuat kesimpulan tanpa mengetahui keputusannya. Ratusan sukarelawan telah divaksin dengan vaksin ini dan tiada reaksi sampingan yang serius,” kata Kosenko seperti dilapor Moscow Times.

Minggu lalu, institut penyelidikan kendalian kerajaan Rusia, Gamaleya dilapor telah menjalankan percubaan fasa ketiga vaksin COVID-19 melibatkan ribuan sukarelawan.

Ketua Jabatan Kawalan Kualiti Roszdravnadzor, Sergei Glagolev pula berkata, pengesahan makmal mengenai vaksin bakal dilaksanakan selepas pendaftaran dan semasa percubaan akhir vaksin berkenaan.

“Mendaftar ubatan ketika fasa awal kajian klinikal adalah boleh diterima. Skim yang serupa wujud di Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat,” kata Glagolev.

 

Sebelum ini, Rusia dilaporkan menawarkan bekalan vaksin kepada negara Filipina. Tawaran itu kemudiannya dipersetujui Presiden Filipina, Rodrigo Duterte yang menawarkan dirinya sebagai subjek pertama eksperimen di sana.

“Saya akan sukarela membawanya ke khalayak. Saya akan jadi yang pertama diuji,” katanya seperti dilapor Nikkei Asian Review.

Rusia Dilapor Telah Daftarkan Vaksin COVID-19 Pertama Di Dunia, Pengeluaran Besar-Besaran Dijangka Bermula September Ini

 

Terkini

Berita Berkaitan