Babi betul..!! Rom haramkan aktiviti berkelah, elak penduduk disondol babi hutan

ROM, Itali – Pihak berkuasa Rom mengharamkan aktiviti berkelah ke atas penduduk di bandar itu bagi mengelakkan mereka daripada diserang atau bertembung dengan babi hutan, lapor akhbar The Guardian, semalam.

Ini kerana penyakit demam babi hutan telah dikesan pada populasi khinzir hutan yang mendiami sekitar utara Rom dan kerajaan mahu menghentikan penyebarannya.

Meskipun demam itu tidak akan berjangkit kepada manusia, namun pihak kesihatan kebangsaan masih mengambil langkah berjaga-jaga.

Selain itu, perbuatan memberi makan atau mendekati haiwan itu juga dilarang, manakala individu yang telah melalui tanah ladang atau rizab alam semula jadi di kawasan yang terjejas telah diberitahu untuk menyembur cecair pembasmi kuman pada kasut mereka.

Demam babi Afrika boleh membawa maut kepada khinzir dan khinzir hutan tetapi tidak berbahaya kepada manusia. Ia dikesan dalam badan babi hutan yang mati di rizab alam semula jadi Insugherata pada Khamis lalu.

Kira-kira 23,000 ekor babi hutan tinggal di dalam dan sekitar Rom, demikian menurut anggaran Persatuan Petani, Coldiretti.

Haiwan itu sering dilihat berkeliaran di taman, berjalan di jalan raya atau mencari makanan di tong sampah yang melimpah, kebanyakannya di daerah di utara bandar. – Agensi

Terkini

Berita Berkaitan