Aje gila! Mayat pesakit Covid-19 terapung di Sungai Gangga

UTTAR PRADESH, INDIA – Banjir yang melanda India akibat musim tengkujuh telah menyebabkan banyak mayat disyaki pesakit Covid-19 yang telah dikebumikan di sepanjang tebing Sungai Gangga kini terapung, lapor akhbar Daily Mail semalam.

Permulaan musim banjir monsun telah menyebabkan arus deras melalui laluan air sepanjang 2,494 kilometer serta menghanyutkan mayat-mayat yang ditanam di kawasan perkuburan pasir cetek di tebing sungai itu.

Beberapa pegawai di bandar Allahabad berkata, hampir 150 mayat yang terapung dalam tempoh tiga minggu lepas telah pun dibakar.

Sebilangan keluarga di utara dan timur India mengebumikan mayat di kawasan perkuburan tersebut kerana tidak mampu menanggung kos pembakaran mayat ketika kemuncak wabak Covid-19 melanda India pada April dan Mei lalu.

Pegawai rasmi India melaporkan sebanyak 600 mayat ditanam di perkuburan tanah cetek di tebing Sungai Gangga. -AFP

Dianggarkan sehingga 600 mayat telah dikebumikan di situ ketika krisis Covid-19 mencapai waktu terburuknya di India.

Dalam pada itu, penduduk tempatan melahirkan rasa bimbang sekiranya mayat-mayat itu tidak dibuang, ia akan memburukkan lagi pencemaran di Sungai Gangga yang sudah sedia tercemar itu, sekali gus mengakibatkan penyakit.

“Ini boleh menyebabkan penyakit yang serius,” kata seorang penduduk, Dipin Kumar yang tinggal berdekatan dengan Sungai Gangga.

India merekodkan sebanyak 30.2 juta jangkitan Covid-19 dengan 396,730 kematian akibat wabak itu.

Namun, terdapat kebimbangan bahawa negara dengan populasi 1.4 bilion itu sebenarnya mencatatkan angka kematian menghampiri dua juta kerana melibatkan kematian di kawasan pedalaman yang tidak didaftarkan. -Agensi

Terkini

Berita Berkaitan