Suruhanjaya Pematuhan Syariah ‘bazir’ dana awam, kata Rafidah

Penubuhan Suruhanjaya Pematuhan Syariah baharu disifatkan sebagai “membazir” dana awam, kata bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Rafidah Aziz, hari ini.

Beliau berkata, Malaysia tidak memerlukan badan kawal selia seumpama itu memandangkan wujud lambakan badan berperanan sama yang kurang berfungsi.

“Kini terlalu banyak pasukan petugas dan jawatankuasa mekar berkembang, namun tiada laporan dibentangkan, apatah lagi tindakan sebenar diambil.

“Dana awam yang sepatutnya disalurkan kepada kumpulan sasar dalam masyarakat, selain kepada pelbagai sektor ekonomi dibelanjakan secara membuta tuli,” katanya dalam kenyataan.

Awal hari ini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawal selia ekonomi halal di negara ini dapat disatukan menerusi penubuhan Suruhanjaya Pematuhan Syariah.

Menurut laporan Bernama beliau berkata, badan penyelia sedia ada berfungsi terhad dengan sektor kewangan Islam di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC), manakala Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengawal selia industri halal.

Ismail mahu kawal selia lebih komprehensif dilaksanakan dan menggesa cadangan berkenaan diberikan pertimbangan.

Mengulas lanjut, Rafidah berkata, Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) yang ditubuhkan pada 2006 sudah diwujudkan untuk mempromosi industri halal dan memastikan pematuhan syariah.

Beliau juga membidas kerajaan kerana kurang “kompas tadbir urus negara” untuk memacu negara ini ke hadapan, selain menambah bahawa koordinasi dan pertimbangan lebih baik diperlukan sebelum merangka dasar atau menubuhkan entiti tadbir urus baharu.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/05/30/suruhanjaya-pematuhan-syariah-bazir-dana-awam-kata-rafidah/

Terkini

Berita Berkaitan