Pamer bendera Israel, lelaki dipenjara 6 bulan

Seorang lelaki dipenjara enam bulan dan denda RM500 oleh Mahkamah Majistret Marang di Terengganu atas kesalahan mempamerkan bendera Israel pada 19 Oktober lalu.

Menurut laporan Harian Metro, Harma Zulfika Deraman, 30, turut berdepan hukuman penjara tambahan tiga bulan jika gagal membayar denda.

Difahamkan, hukuman terhadapnya akan bermula selepas dia menyelesaikan hukuman penjara lima tahun mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952, yang dijatuhkan ke atasnya bulan lalu.

Majistret Zur Azureen Zainalkefli membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 3(1) Akta Lambang Negara (Kawalan Mempamer) 1949 yang menyatakan bahawa “tiada seorang pun boleh mempamerkan di khalayak ramai, atau di, atau di dalam mana-mana sekolah, mana-mana lambang negara”.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kedai aksesori kenderaan di Kampung Padang Lebam, Bukit Payong, Marang pada 1 tengah hari, 19 Okt lepas.

Bulan lalu Harma dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan bagi kesalahan dadah.

Malaysiakini

Terkini

Berita Berkaitan