PN mungkin boleh menang di Negeri Sembilan, tidak mustahil boleh buat kejutan yang besar

Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yakin gabungan parti politik itu mampu membentuk kerajaan di Negeri Sembilan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).

Kalau dicongak secara kasar, sasaran itu agak sukar dicapai kerana ketika ini, PN yang terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan tidak menyandang walau satu kerusi pun di Negeri Sembilan.

Bukan setakat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), malah satu-satunya kerusi Parlimen yang pernah dimilikinya iaitu Kuala Pilah kembali ke tangan Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bacaan awal menjangka PN berpotensi memenangi tiga atau empat kerusi DUN manakala baki 32 atau 33 kerusi lagi kekal di tangan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Ahmad Faizal yang lebih mesra dengan gelaran Peja menyedari hakikat itu dan mengakui PN yang kali pertama bertanding di kesemua DUN di Negeri Sembilan akan turun sebagai underdog.

Ketika ini, belum dapat dilihat dengan jelas strategi PN untuk menawan Negeri Sembilan dan Peja juga berteka-teki mengenainya apabila ditanya media dalam majlis ramah mesra di Seremban, semalam.

Apa yang dapat dibayangkan, sebahagian besar calon PN yang bertanding pada PRU15 akan diketengahkan sekali lagi pada PRN Negeri Sembilan.

Pengalaman politik pilihan raya yang dimiliki dapat membantu mereka dari segi gerak kerja dan kempen untuk berdepan dengan calon-calon daripada PH dan BN yang mempunyai kelebihan sebagai parti kerajaan.

Walau bagaimanapun, Ahmad Faizal yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Tambun pada PRU15 mengesahkan tidak akan bertanding di Negeri Sembilan.

PN juga dijangka akan memanfaatkan sepenuhnya isu kerjasama DAP dan UMNO yang meresahkan akar umbi dan penyokong tegar kedua-dua parti berkenaan.

Sekiranya isu tersebut gagal ditangani UMNO dengan baik, parti tersebut akan hilang sokongan daripada akar umbinya sendiri lantas membuka ruang kepada PN untuk bertapak di beberapa kerusi DUN di Negeri Sembilan.

Begitu juga dengan isu-isu lain seperti kenaikan harga barang, pembebasan Datuk Seri Najib Razak dan prestasi kurang cemerlang kerajaan negeri di bawah PH boleh mempengaruhi sentimen pengundi untuk memihak kepada PN.

Pengundi muda di Negeri Sembilan pada PRU15 juga lebih cenderung menyokong PN dan sentimen itu dijangka kekal pada PRN.

Jika kena dengan gayanya, PN yang memasuki gelanggang PRN Negeri Sembilan sebagai underdog boleh bertukar menjadi giant killer.

Kemungkinan itu boleh berlaku dan ia telah dibuktikan oleh PH yang berjaya menamatkan dominasi BN di Negeri Sembilan pada PRU14. – MalaysiaGazette

Tak mustahil PN boleh tumbangkan gergasi di Negeri Sembilan

Terkini

Berita Berkaitan