Data PADU sudah sedia, tunggu masa yang sesuai kata Rafizi

PUTRAJAYA – Data dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) telah sedia untuk kerajaan melaksanakan program rakyat termasuk subsidi bersasar pada bila-bila masa, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Walaubagaimanapun, sebarang keputusan berhubung pelaksanaan mekanisme tersebut, hanya akan diputuskan oleh kerajaan pada tempoh yang sesuai, untuk mengelakkan spekulasi inflasi.

“Kerajaan sedang cuba sedaya upaya untuk mengelakkan spekulasi inflasi, justeru yang terbaik kami simpan dahulu penyusunannya.

“Rahsia ini untuk menguruskan keseimbangan mengenai bagaimana tindakan pasaran dan masyarakat,” beliau berkata kepada media ketika ditanya perkembangan PADU selepas majlis pelancaran rancangan realiti television INNOVATHON musim kedua, di sini pada Rabu.

Rafizi berkata, beliau bimbang akan ada kumpulan tertentu yang akan mengambil kesempatan dengan menaikkan harga dan mengaut keuntungan, sekiranya penyusunan kerajaan, jadual dan keputusan itu sampai dengan cara yang tidak tepat mengikut perancangan.

Beliau berkata, apa yang terbaik bagi kerajaan buat masa ini, adalah untuk menyediakan kesemua maklumat berkenaan data dan apabila kerajaan merasakan ia tempoh yang sesuai, dan mekanisme yang sesuai telah diputuskan, ia akan berlaku.

Pada 2 Januari, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan PADU iaitu sistem yang mengandungi profil individu dan isi rumah, meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia.

Objektif PADU ialah sebagai penyediaan pangkalan data utama negara yang selamat, komprehensif dan hampir masa sebenar, yang membolehkan analitik data lebih tepat dihasilkan serta penggubalan dasar dan proses membuat keputusan berpacukan data, selain membolehkan pelaksanaan dasar secara bersasar bagi mengimbangi kedudukan fiskal. – Bernama

Terkini

Berita Berkaitan