PRK KKB : Gelombang menolak PN sedang berlaku? Makin melemah

Parti Amanah Negara (Amanah) negeri Kedah percaya keputusan Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu yang dimenangi Pakatan Harapan (PH) menjadi petunjuk gelombang hijau pada Pilihan Raya Umum (PRU) 15 semakin melemah.

Pengerusinya, Asmirul Anuar Aris berkata, sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) juga dilihat menurun secara signifikan berdasarkan keputusan pada PRK tersebut.

Menurutnya, kemenangan calon PH adalah petanda jelas rakyat khususnya pengundi di Kuala Kubu Baharu yakin dengan hala tuju Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jika momentum tersebut terus berlaku pada PRU-16, gabungan parti politik Kerajaan Perpaduan berpeluang besar menawan dua buah negeri dikuasai PN iaitu Kedah dan Perlis.

Bekas Exco Kedah itu berkata, niat pihak lawan untuk merampas kerusi Kuala Kubu Baharu tidak kesampaian, walaupun ketika berkempen membawa naratif komunikasi politik bersifat propaganda dan menjatuhkan maruah PMX serta menyindir inisiatif dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan.

Jelasnya, berlaku anjakan undi Melayu yang amat signifikan kepada calon PH iaitu sebanyak 41 peratus berbanding sebanyak 39 peratus undi Melayu diperoleh calon PN.

“Selain undi Melayu, undi kaum Cina dan India kepada calon PH juga mengatasi undian diperoleh calon PN,” ujar beliau lagi.

Tambahnya, parti politik di dalam Kerajaan Perpaduan diingatkan jangan alpa dengan kemenangan yang dicapai, sebaliknya menggerakkan seluruh jentera parti bermula sekarang mendekati rakyat memberi maklumat yang sewajarnya.

Pada Sabtu, PH menerusi calon mereka, Pang Sock Tao memenangi PRK Kuala Kubu Baharu sekali gus mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenangi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos tahun lalu.

Sock Tao menang dengan majoriti 3,869 undi dan memperoleh 14,000 undi menewaskan tiga lagi pencabarnya.

Pencabar utama Sock Tao pula daripada PN, Khairul Azhari Saut mendapat 10,131 undi.

Sinar Harian 

Terkini

Berita Berkaitan