Panas!! Tidak boleh lompat parti mulai 5 Oktober 2022 kata Wan Junaidi

KUALA LUMPUR – Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang diluluskan pada Julai lalu akan berkuatkuasa mulai esok.

Justeru itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, aktiviti lompat parti di kalangan Ahli-ahli Parlimen tidak lagi boleh dilakukan.

“Akta A1663 telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 27 Julai 2022, majoriti sokongan adalah 209, di mana 11 Ahli Parlimen tidak hadir, dan Dewan Negara pada 9 Ogos yang mana majoriti sokongan adalah 52 Senator.

“Akta ini telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos 2022 dan telah diwartakan sebagai akta A1666 pada 6 September.

“Alhamdulillah akta ini mendapat perkenan YDPA bagi tarikh kuatkuasa pada 5 Oktober 2022,” katanya dalam sidang media pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Jelasnya, akta itu telah digazetkan sebentar tadi untuk dikuatkuasakan.

“Janji sampai di hadapan (wartawan) sudah saya tepati sekarang.

“Sesiapa yang bertukar parti sekarang, maka undang-undang ini akan menyebabkan keahlian dia sebagai Ahli Parlimen akan jatuh,” katanya.

Ditanya mengenai pelaksanaan akta itu di peringkat negeri-negeri, Wan Junaidi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengutuskan surat kepada semua negeri meminta mereka menyelaraskan dan menggunapakai akta yang telah digubal.

“Jadual ini adalah untuk menyelaraskan penggunaan konsep ahli berpindah parti di negeri-negeri yang boleh dipakai kepada ADUN mereka,” ujarnya.

Di bawah akta berkenaan, Ahli Parlimen akan kehilangan kerusi jika memilih untuk melompat parti.

Bagaimanapun, pengecualian terhadap Rang Undang-Undang berkenaan diberikan kepada Ahli Parlimen yang dipecat oleh parti atau parti yang diwakili dibubarkan dan dibatalkan pendaftaran. – MalaysiaGazette

Tidak boleh lompat parti mulai esok – Wan Junaidi

Terkini

Berita Berkaitan