PANAS!! Pihak berkuasa tahu banjir akan melanda Taman Sri Muda, kata penduduk

Banjir yang melanda Taman Sri Muda minggu lalu tidak dapat dielakkan dan penduduk juga telah memberi amaran kepada pihak berkuasa mengenainya sejak 2019 lagi.

Sebahagian besar kawasan itu ditenggelami air selama berhari-hari selepas dilanda hujan lebat pada 17 dan 18 Dis, menyebabkan lebih 10 orang maut selain mengundang kerosakan kepada keluarga dan perniagaan mencecah jutaan ringgit.

Kawasan itu sering mengalami banjir setiap tahun sejak 2019, namun kali ini adalah paling buruk pernah berlaku.

Penduduk percaya, ia disebabkan oleh pembangunan secara berlebihan di kawasan sekitar selain mendakwa banyak surat telah dihantar kepada pihak berkuasa terbabit.

“Kami telah menulis surat namun malangnya langsung tiada maklum balas daripada majlis bandaraya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” kata Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Sri Muda Zon D, Andrew De Silva.

“Ini tidak sepatutnya berlaku. Jika mereka telah membuat perancangan awal pada 2019 dan meminta pengarah ketika itu mencari jalan penyelesaian terbaik, kita tidak akan menderita seperti ini.”

Dia dan beberapa ahli jawatankuasa persatuan menunjukkan kepada FMT, pelbagai surat yang telah dihantar kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan pelbagai pihak di mana ia telah dicop dan ditandatangan.

Anbarasan Many mendakwa pemaju telah menyalurkan air ke dalam sistem perparitan di Taman Sri Muda.

Bendahari persatuan itu, Anbarasan Many, berkata pemaju di kawasan sekitar mengambil jalan mudah berhubung tebatan banjir dengan menyalurkan air ke sistem perparitan sedia ada di Taman Sri Muda dan bukannya membina kolam tadahan dan rangkaian sistem perparitan baharu.

“Mereka mengambil jalan mudah,” katanya.

“Mereka menyalurkan air dari kawasan kediaman sekitar ke (Taman) Sri Muda. Ini sebabnya kita terima banyak air dari taman yang lain.”

De Silva berkata seseorang harus bertanggungjawab atas situasi itu.

“Pemaju mesti mendapatkan kelulusan sebelum mengalirkannya ke kawasan lain. Jadi persoalannya berbalik kepada pihak berkuasa, sama ada MBSA, Jabatan Perancangan, Jabatan Kejuruteraan, JPS atau Jabatan Kerja Raya.

“Tandatangan itu daripada pihak berkuasa terbabit. Jadi kami mahu mereka bertanggungjawab atas perkara ini.”

Persatuan penduduk juga menggesa tiga langkah dilaksanakan bagi mencegah banjir berterusan dan mencegah bencana lain.

  • Saluran air yang menuju ke sistem perparitan di Taman Sri Muda perlu ditutup.
  • Kolam tadahan digunakan untuk menyimpan lebihan air yang tidak boleh dilepaskan ke Sungai Klang mesti dikekalkan dan dikorek lebih dalam.
  • Sistem perparitan di kawasan itu juga perlu dipulihkan dan dinaik taraf.

Penduduk berkata terdapat banyak parit yang tidak lagi berupaya menampung jumlah air ketika ini mahupun tidak dilapisi konkrit, menyebabkan pengumpulan kelodak di kolam tadahan lalu mengurangkan kapasitinya.

Mereka berkata, isu ini telah diutarakan kepada pihak berkuasa beberapa kali.

“Penduduk yang menetap di sini lebih 30 tahun lalu telah berputus asa,” kata Anbarasan. “Mereka mahu berpindah. Ada yang sudah pun melakukannya. Jika ia berlarutan, (Taman) Sri Muda akan menjadi bandar hantu.”

FMT cuba mendapatkan MBSA dan JPS untuk mengulas perkara itu.

Pihak berkuasa tahu banjir akan melanda Taman Sri Muda, kata penduduk

 

Terkini

Berita Berkaitan