Kerana ugut dan hina MB Kedah, Penganalisis teknologi maklumat ditahan

ALOR SETAR: Polis menahan seorang lagi lelaki kerana dipercayai mengugut serta menghina Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor, baru-baru ini.

Sumber memaklumkan, penahanan suspek yang adalah seorang penganalisis teknologi maklumat dilakukan di sebuah rumah di Taiping, Perak malam semalam.

Katanya, penahanan suspek yang berusia 25 tahun adalah hasil daripada jalinan kerjasama antara Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.

“Dalam serbuan kira-kira pukul 12 tengah malam semalam, polis turut merampas telefon pintar milik suspek dengan dia turut dibawa ke IPD Kuala Muda untuk tindakan lanjut.

“Suspek dikatakan mengaku menghantar kiriman mesej ke Facebook Messenger Menteri Besar namun dia mendakwa sudah memadamkannya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Difahamkan, Ahad lalu seorang pentadbir  laman media sosial Menteri Besar membuat laporan polis kerana menerima kiriman mesej berbaur ugutan dan kata-kata kesat ditujukan kepada Muhammad Sanusi menerusi Facebook Messenger.

Penahanan lelaki itu menjadikan keseluruhannya terdapat empat individu yang ditahan kerana disyaki menghina Muhammad Sanusi setakat ini.

Semalam dua lelaki berusia 52 dan 45 tahun ditahan di Kepala Batas dan Mergong Perdana dekat sini kerana disyaki melakukan kesalahan sama.

Terdahulu, seorang seorang warga emas ditahan awal pagi kelmarin di Lenggeng, Negeri Sembilan berikutan penyebaran video memaparkan dirinya yang didakwa mengeluarkan kata-kata berunsur penghinaan terhadap Muhammad Sanusi. – UTUSAN ONLINE

Terkini

Berita Berkaitan