Kawal selia TikTok Shop, KKD bincang dengan agensi, kementerian berkaitan

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan mengadakan perbincangan dengan agensi dan kementerian berkaitan berkenaan aspek kawal selia di TikTok Shop.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, pihaknya mendapat maklumat asas mengenai demografi dan barangan yang dijual menerusi platform itu selepas timbalannya, Teo Nie Ching mengadakan pertemuan dengan pihak TikTok pada Khamis lepas.

“Saya ada minta beberapa perbincangan susulan sebab maklumat perlu lebih terperinci dan selepas ini kita akan adakan perbincangan dengan kementerian dan agensi lain kerana dari segi bidang kuasa, KKD dan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) lebih kepada kawal selia penggunaan rangkaian.

“… tetapi ada beberapa perkara lain bawah bidang kuasa seperti contoh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop). Kita akan adakan perbincangan sebelum kita rumuskan tindakan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan Deepavali kepada masyarakat India di Lembah Pantai hari ini.

Pada 7 Okt lepas, Fahmi dilaporkan berkata, kerajaan akan meneliti terlebih dahulu tindakan kerajaan Indonesia mengharamkan transaksi e-dagang di TikTok sebelum merangka langkah yang bersesuaian di negara ini.

Menurut Fahmi, beliau sendiri pernah menerima aduan orang awam yang melahirkan kerisauan jika langkah yang sama diikuti oleh kerajaan, namun pada masa sama, beberapa gedung besar turut membangkitkan isu berkaitan persaingan harga.

Fahmi hari ini berkata, walaupun mendapat kerjasama daripada TikTok, sehingga hari ini belum ada wakil platform media sosial tersebut di Malaysia.

“Sekarang kita terpaksa tunggu sehingga pegawai-pegawai datang dari Singapura, Filipina dan sebagainya,” katanya.

“Ini tidak kondusif kerana ia melewatkan (urusan), dan seperti saya sebut sebelum ini, kerajaan khususnya KKD dan SKMM sedang meneliti langkah untuk tingkatkan kawal selia.

FMT

Terkini

Berita Berkaitan