“Kalau perlu potong, potonglah” kata Azmin

KUALA LUMPUR – “Kalau perlu potong, potonglah. Tidak ada masalah. Apa yang lebih penting adalah kita harus melihat keperluan pada hari ini untuk mengurus kewangan secara bertanggungjawab dan berhemah”

Itu pendapat Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengenai cadangan memotong elaun menteri.

Cadangan itu diutarakan sebelum ini oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak itu berkata demikian katanya selepas melawat insiden tembok penahan pecah di Bukit Antarabangsa hari ini.

Apa yang lebih utama, menurut Mohamed Azmin adalah untuk mengurus kewangan kerajaan dengan lebih bertanggungjawab supaya amalan rasuah dapat dibendung.

Sebelum ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi pekeliling pada 20 Dis menyatakan, Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) mulai Januari 2020 bagi penjawat awam 33 Skim Perkhidmatan Kritikal yang baru dimansuhkan.

Bagaimanapun, Syed Saddiq memberitahu Putrajaya akhirnya bersetuju menangguhkan pelaksanaan pemansuhan BIPK yang sebelum ini diumumkan berkuatkuasa Jan depan melibatkan pelantikan baru penjawat awam.

Mohamed Azmin bagaimanapun berkata, perkara berkenaan akan terus dibincangkan secara mendalam dalam mesyuarat kabinet setiap Rabu.

“Jemaah Menteri sentiasa mengambil maklum tentang pandangan daripada rakyat dan kita selalu membincangkan dalam mesyuarat kabinet. Kita ambil masa empat hingga lima jam setiap hari Rabu untuk membincangkan masalah seperti ini,” katanya.

Mengenai insiden insiden tembok penahan pecah di Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin berkata, satu laporan oleh agensi akan dikemukakan kepada kerajaan Selangor pada 8 Januari ini untuk tindakan susulan.- MalaysiaGazette

Terkini

Berita Berkaitan