Gempar! Najib masuk hospital kerana demam panas

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilaporkan telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani rawatan selepas mengalami demam.

New Malaysia Herald melaporkan, Najib dimasukkan ke HKL semalam, sekitar pukul 2.30 petang selepas mengalami suhu tinggi dan sakit tekak yang teruk.

Menurut portal tersebut, bekas perdana menteri itu menjalani ujian lanjut pagi ini dan dilaporkan stabil.

Ini merupakan kali keempat Najib mendapatkan rawatan di HKL ketika sedang menjalani hukuman penjara.

Sebelum ini, pada Mac lalu, Najib dimasukkan ke HKL dipercayai selepas mengalami jangkitan pada paru-paru.

Sumber MalaysiaGazette ketika itu berkata, mantan Ahli Parlimen Pekan itu pada mulanya dimasukkan ke hospital selepas mengidap influenza.

Pada Disember 2022, Najib dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan berikutan masalah ulser dalam perut yang dihidapinya.

Sebelum itu, pada September 2022, Najib menerima rawatan di HKL selepas mengalami sakit perut. – MalaysiaGazette

Terkini

Berita Berkaitan