Gempar!! 1MDB: Zeti tahu Najib akan terima AS$100 juta – Saksi

KUALA LUMPUR – Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz tahu Datuk Seri Najib Tun Razak akan menerima wang sebanyak AS$100 juta daripada Arab Saudi pada 2011.

Pengarah Bukan Eksekutif AmBank, Cheah Tek Kuang berkata, beliau memaklumkan perkara tersebut kepada Zeti dalam satu pertemuan selepas bekas Perdana menteri itu membuka akaun di bank itu.

Tambah beliau, pertemuan tersebut hanya melibatkan beliau dan Zeti memandangkan perkara itu adalah rahsia dan melibatkan kepentingan Najib.

“Pada masa itu, Zeti telah mengambil maklum perkara itu dan telah meminta kami membuka akaun itu dan menerima kemasukan wang itu mengikut peraturan ditetapkan oleh BNM,” kata saksi pendakwaan ke-39 yang membaca keterangan bertulis pada perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), di sini, hari ini.

Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Beliau berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Menurut Tek Kuang, beliau kemudian menyerahkan semua urusan pengoperasi kepada Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu dan Bahagian Operasi yang diketuai Ross Foden.

Katanya, Fiden dan pasukannya bercadang untuk mengawal selia akaun Najib dengan menyediakan kod nama khas kerana akaun tersebut adalah sensitif selain mengelakkan kebocoran maklumat seperti yang berlaku dalam kes National Feedlot Corporation.

“Ketika itu saya bersetuju dengan kod nama iaitu ‘AmPrivate Banking-MR’ bagi akaun Datuk Seri Najib bagi mengelakkan maklumat peribadi disalahgunakan.

“Saya juga menghantar surat kepada Zeti dengan memasukkan kod nama ‘AmPrivate Banking-MR’ dalam isi surat tersebut,” ujarnya.

Surat itu dihantar kepada Zeti pada 9 Februari 2011 bagi memaklumkan kod nama bagi akaun Ambank Islamic milik Najib untuk memudahkan BNM memantau dan menyelia Sistem Pemantauan Operasi Ringgit (Ringgit Operations Monitoring System – ROMS).

Sementara itu, Tek Kuang memberitahu mahkamah bahawa beliau pernah bertemu dengan Najib di Kenny Hill, Bukit Tunku bagi menyerahkan dokumen pembukaan akaun AmBank Cawangan Raja Chulan.

Katanya, Najib memaklumkan kepadanya terdapat wang sebanyak AS$100 juta dari Arab Saudi dimasukkan dalam akaun.

“Najib ada memberitahu saya bahawa itu adalah wang sumbangan dari Arab Saudi untuk aktiviti berkaitan Islam,” tambahnya.

Perbicaraan bersambung esok di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah. – MalaysiaGazette

1MDB: Zeti tahu Najib akan terima AS$100 juta – Saksi

Terkini

Berita Berkaitan