BN dijangka tanding 14 kerusi di Selangor pada PRN

SABAK BERNAM – Barisan Nasional (BN) dijangka bertanding sekurang-kurangnya 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor akan datang.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata, parti itu sememangnya berhasrat bertanding satu kerusi DUN bagi setiap Parlimen di negeri ini.

Namun, katanya, kedudukan Pakatan Harapan (PH) kukuh selepas memenangi 16 daripada 22 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Hanya tinggal enam kerusi yang mereka (PH) tidak menang dan kita mahu ambil dari situ. Jadi, saya menjangkakan sekurangnya-kurangnya 12 hingga 14 kerusi DUN bakal ditandingi BN nanti,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Jentera Kerajaan Perpaduan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang di Parit 16 di sini, malam tadi.

Sungai Panjang menjadi DUN pertama jentera di negeri ini yang dilancarkan menerusi kerjasama sulung antara BN dan Pakatan Harapan (PH).

Lokman menjelaskan, semua kerusi DUN itu bagaimanapun tidak semestinya hanya melibatkan kawasan luar bandar di negeri ini.

Justeru, katanya, semua penyokong BN dan PH diminta terus memberi sokongan padu kepada calon Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kemenangan pada PRN nanti.-KOSMO!ONLINE

Terkini

Berita Berkaitan