U Mobile dinobat Penyedia Mudah Alih Terbaik Malaysia

KUALA LUMPUR: U Mobile dinobatkan sebagai Penyedia Perkhidmatan Mudah Alih Terbaik Malaysia buat kali ketiga pada Anugerah Amalan Terbaik Frost and Sullivan Asia Pasifik 2020.

Syarikat telekomunikasi (telco) itu turut diiktiraf dalam lima kategori di bawah Pengalaman Pelanggan yang Cemerlang untuk Industri Telekomunikasi 2020 iaitu Pengalaman Keseluruhan, Pengalaman Mudah Alih, Pengalaman Dalam Talian, Pengalaman Pusat Perhubungan dan Pengedar.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wong Heang Tuck, berkata anugerah itu adalah bukti komitmen U Mobile untuk terus menginovasi produknya dan mengembangkan perniagaan untuk memenuhi keperluan pelanggannya di pasaran perkhidmatan telekomunikasi.

Katanya, U Mobile gembira dengan penghargaan sebagai Penyedia Perkhidmatan Mudah Alih Terbaik Malaysia untuk kali ketiga.

“Ini adalah bukti bahawa walaupun kami adalah telco termuda, namun usaha untuk berinovasi dan melabur dalam rangkaian telah membuahkan hasil.

“Kami bekerja keras untuk menjadi setaraf dengan telco lain yang telah lama bermula kerana ingin meningkatkan pengalaman pelanggan sehingga mereka dapat memanfaatkan sepenuhnya potensi.

“Sudah tentu, anugerah kami ini tidak mungkin tercapai sekiranya bukan disebabkan oleh sokongan pelanggan dan pihak berkepentingan kami serta seluruh keluarga U Mobile,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu Penyelidik Bersekutu (Amalan ICT) Frost & Sullivan, Sofea Zukarnain, berkata berdasarkan analisisnya terhadap pasaran penyedia perkhidmatan mudah alih Malaysia, Frost & Sullivan mengiktiraf kemenangan U Mobile kerana strategi pengambilalihan dan pengekalan pelanggan telco, disokong oleh rangkaian produk dan penawaran perkhidmatan yang kukuh.

Berita Harian

Terkini

Berita Berkaitan