Terkini! Jangan biar projek LCS jadi fitnah perosak, Tok Mat beritahu BN

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Mohamad Hasan menggesa agar gabungan tersebut tidak membiarkan sahaja serangan pembangkang dalam isu kapal tempur pesisir pantai (LCS).

Jika dibiarkan, katanya, “fitnah” itu boleh merosakkan BN dan Umno.

“Nampaknya macam ada jadual serangan terhadap kita yang sedang direka bentuk pembangkang.

“Lepas satu, satu (fitnah) direka. Lepas habis LCS ini, akan ada lagi isu yang mereka buat,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Dalam pada itu, beliau mengingatkan Biro Penerangan BN untuk memainkan peranan menangkis tuduhan daripada pembangkang mengenai isu LCS.

“Pembangkang mengeluarkan fitnah menyatakan kapal itu lesap dan seolah-olah LCS itu milik BN.

“Fitnah ini nampaknya semakin tidak terkawal, BN dituduh. Sedangkan tiada kena mengena dengan BN, ini isu pentadbiran syarikat,” katanya.

Tambahnya, jika betul ada penyelewengan, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan seperti yang disarankan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, perkara ini boleh disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Jika ada penyalahgunaan dan kelemahan, biar pihak berkuasa yang ambil tindakan,” katanya.

Khamis lepas, SPRM berkata, ia telah melengkapkan siasatannya yang dijalankan sejak beberapa tahun lepas.

Beberapa kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dengan saranan agar individu tertentu yang mempunyai kaitan dengan projek itu didakwa.

Kontroversi yang menyelubungi projek LCS semakin hangat, dengan ramai ahli politik dan pihak berkepentingan mengeluarkan kenyataan baharu setiap hari.

Jangan biar projek LCS jadi fitnah perosak, Tok Mat beritahu BN

Terkini

Berita Berkaitan