Akan temui Hadi, Sanusi untuk dapatkan panduan kata Annuar

Bekas setiausaha agung Umno Annuar Musa berkata dia akan menemui PAS Abdul Hadi Awang untuk mendapatkan “panduan” selepas dilantik menyertai jawatankuasa pusat parti berkenaan baru-baru ini.

Kata Annuar selain Abdul Hadi dia juga akan bertemu Pengarah Pilihan Raya PAS Muhammad Sanusi Md Nor dalam masa terdekat.

Annuar beberapa hari lalu diumumkan dilantik menganggotai Jawatankuasa PAS Pusat bersama seorang lagi bekas pemimpin Umno, Shahidan Kassim.

Selain menjadi ahli jawatankuasa pusat parti terbabit, Annuar turut dilantik sebagai timbalan pengarah pilihan raya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada presiden dan jawatankuasa PAS Pusat yang memberikan kepercayaan kepada saya.

“Sebagai ahli parti saya sedia berkhidmat kepada parti bagi meneruskan perjuangan PAS bersama saf pimpinan sedia ada.

“Insya-Allah saya akan terlebih dahulu membuat kunjungan kepada presiden dan (Datuk Seri) Sanusi dalam masa terdekat untuk mendapat arahan dan panduan seterusnya,” katanya dalam hantaran di Facebook, semalam.

Annuar dan Shahidan adalah antara sembilan individu yang dilantik sebagai AJK PAS Pusat bagi sesi 2023-2025.

Annuar dan Shahidan adalah antara ahli Umno yang dipecat keahlian mereka oleh majlis kerja tertinggi parti itu sebelum PRU ke-15 pada tahun lalu.

Annuar yang pernah menjadi menteri dan ahli parlimen Ketereh menyertai PAS pada Jun lalu. Dia juga merupakan pengerusi NGO Muafakat Nasional.

Shahidan pula adalah ahli parlimen Arau namun dipecat daripada Umno selepas bertanding sebagai calon PN di kerusi sama pada PRU ke-15 lalu selepas namanya tidak tersenarai sebagai calon BN.

Dia kemudian berjaya mempertahankan kerusi Arau.

Sementara itu Annuar berkata dia berharap agar urusannya memikul amanah baru dalam PAS dipermudahkan.

Malaysiakini

Terkini

Berita Berkaitan