Terkini! Hak saya untuk hidup, kebebasan, perbicaraan adil di hujung tanduk, kata Najib

Bekas perdana menteri Najib Razak menegaskan bahawa hak beliau sudah terjejas selepas Mahkamah Persekutuan hari ini tidak membenarkan peguamnya, Hisyam Teh Poh Teik menarik diri daripada rayuan kes SRC International.

“Saya ingin merakamkan bantahan sekeras-kerasnya berhubung prosiding rayuan hari ini, yang mana hak saya untuk hidup, kebebasan, dan perbicaraan adil di hujung tanduk,” katanya kepada pemberita.

“Seperti anda sedia maklum, peguam saya memaklumkan bahawa beliau tidak mahu meneruskan rayuan saya kerana mempunyai masa yang terhad untuk membuat persiapan…Malangnya, mahkamah tidak membenarkan.”

Terdahulu, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengetuai panel lima hakim, berkata mahkamah sebulat suara berpendapat Hisyam “gagal mendedahkan alasan kukuh” untuk mewajarkan permohonan menarik diri.

Akibatnya, kata Najib, beliau tiada peguam dan tidak mampu membela dirinya di mahkamah hari ini. Hanya pihak pendakwaan mengemukakan kes.

Najib menambah perkembangan ini, yang mana tertuduh tiada peguam untuk mewakili kesnya sama sekali tidak pernah berlaku dalam kes berprofil tinggi seperti kes beliau.

“Perkara ini amat berat. Saya berharap mahkamah pertimbangkan hal ini dan mengambil langkah-langkah untuk membetulkan keadaan,” tegasnya.

Sementara itu, Hisyam pada sidang media sama berkata beliau tidak nampak bagaimana boleh beliau menjalankan tugas-tugas sebaik mungkin selaku peguam Najib, memandangkan tiada masa secukupnya untuk menghadapi perbicaraan.

Hak saya untuk hidup, kebebasan, perbicaraan adil di hujung tanduk, kata Najib

Terkini

Berita Berkaitan