Syed Saddiq berangin sebab ada yang guna taktik lapuk nak burukkan parti ‘Muda’

Tindakan pihak tertentu menularkan gambar kononnya ahli Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sedang “berpesta arak” adalah satu taktik murah, lapuk dan terdesak, kata Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, formula merendah-rendahkan imej MUDA digunakan oleh pihak yang tidak senang dengan kerja parti itu yang aktif membantu mangsa banjir di seluruh negara.

“Kalau tidak boleh tunjuk mereka berkhidmat untuk rakyat, mereka mainlah isu agama, isu sensasi, isu yang merendahkan nilai dan imej MUDA. Saya percaya taktik murah dan lapuk ini adalah taktik mereka yang terdesak,” katanya di Facebook.

Sejak semalam, tular gambar sekumpulan anak muda yang didakwa sedang “berpesta arak” dengan memakai baju-T “MUDA”.

Warganet turut mempersoalkan sama ada individu di dalam gambar itu adalah orang Islam kerana terdapat sejadah kelihatan di belakang mereka.

Bagaimanapun Syed Saddiq berkata, isu yang wajar diangkat dan diperdebatkan adalah isu salah laku dan rasuah, bukannya “isu makan minum orang”.

“Saya sudah pesan kepada MUDA, jangan terikut-ikut budaya tua dan lapuk begini. Fokus pada kerja dan khidmat kepada rakyat,” katanya.

Namun beliau tidak mengesahkan atau menafikan mengenai dakwaan individu dalam gambar terbabit adalah ahli MUDA.

“MUDA wujud atas dasar toleransi. Selagi apa yang dibuat itu mengikut lunas undang-undang, tak apalah.

“Parti ini parti berbilang kaum. Bukan kesalahan untuk mereka minum, lainlah kalau mereka memandu. Kita hormat hak mereka dan mereka hormat hak kita. Ini hak peribadi mereka,” jelasnya.

Dalam pada itu Syed Saddiq menafikan tuduhan bahawa wang sumbangan rakyat untuk misi bantuan banjir digunakan bagi membeli minuman keras untuk ahli parti.

“MUDA tidak guna wang sumbangan untuk beli minuman alkohol. Ini tuduhan paling tidak masuk akal.

“MUDA bersikap ‘open book’ (tiada apa hendak disembunyikan). Semua sumbangan 100% disalurkan kepada mangsa banjir. Minggu lepas saya sudah buat sidang media dan tunjuk semua resit transaksi Mari Bantu,” katanya merujuk kepada nama misi bantuan banjir MUDA yang menerima sumbangan awam.

Gambar tular ‘pesta arak’, taktik lapuk jatuhkan imej MUDA, kata Syed Saddiq

Terkini

Berita Berkaitan