PRN Melaka: Takiyuddin dengan nada yakin, PAS akan buat kejutan dan bawa kemenangan

Lapan calon PAS yang dipertaruhkan dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka mampu membuat kejutan dan menarik pengundi muda, kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu berkata, semua calon PAS datang daripada pelbagai latar belakang, namun mempunyai “satu sasaran”, iaitu membawa kemenangan kepada parti di bawah “payung” Perikatan Nasional (PN) itu.

Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, pada Sabtu lepas mengumumkan bahawa gabungan itu akan bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka, dengan 15 kerusi diwakili Bersatu, PAS (lapan) dan Gerakan (lima).

Lapan kerusi yang ditandingi PAS adalah Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Kelebang, Bukit Katil, Duyong, Serkam dan Merlimau.

“Saya optimis mereka boleh bantu PAS untuk capai kemenangan kalau tidak 100% pun, sekurang-kurangnya dapat tarik pengundi muda dan buat kejutan,” kata Takiyuddin kepada pemberita selepas menghadiri majlis penganugerahan “Product Safety Award” 2021.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal 16 Nov, susulan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas setelah empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

PRN Melaka: Takiyuddin yakin PAS mampu buat kejutan, tarik pengundi muda

Terkini

Berita Berkaitan