[PRK Tanjung Piai] Calon PH kata bersyukurlah harga sawit RM270 setan, pekebun sangat terguris

PONTIAN: Pekebun kecil tempatan ‘terguris hati’ dengan sikap calon Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai Karmaine Sardini meminta mereka bersyukur walaupun mengalami kemerosotan harga kelapa sawit.

Seorang pekebun kecil di sini, Jahuri Nawi, 64, mempersoalkan bagaimanakah Karmaine, yang merupakan anak tempatan, boleh membuat kenyataan sebegitu.

“Tak patutlah Karmaine kata begitu. Kamu bandingkan harga sekarang dengan zaman dulu.

“Kenapa tidak cerita masa zaman Jepun makan ubi kayu. Hari ini kamu patut cerita apakah usaha nak tingkatkan taraf hidup petani,” katanya kepada FMT sambil menunjukkan petikan video Karmaine berceramah semalam.

Ketika berceramah di Pusat Daerah Mengundi Penerok di sini malam semalam, Karmaine menasihatkan pekebun kecil supaya tidak mengeluh berikutan kemerosotan harga kelapa sawit sekarang.

Katanya, walaupun harga komoditi itu kini turun kepada RM270 satu tan, pekebun perlu bersyukur kerana mendakwa ia lebih tinggi berbanding harga RM87 satu tan pada zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Beliau mendakwa tiada pihak yang merungut ketika harga kelapa sawit jatuh sehingga RM87 satu tan ketika itu.

“Tak ada orang merungut pun kerana taksub dengan BN konon hebat sangat.”

Katanya, kos kehidupan di Tanjung Piai juga tidak setinggi di bandar besar.

“Kalau ada 10 ekar (kebun kelapa sawit), sekurang-kurangnya dapat 5 tan, darab dengan RM270, dapat RM1,000 lebih.

FMT

Terkini

Berita Berkaitan