Pecah rekod kata Gerakan, pertaruh calon Melayu pertama di Kota Melaka?

Buat pertama kalinya, Gerakan dikatakan akan mempertaruhkan calon Melayu bagi kerusi Parlimen Kota Melaka yang merupakan kubu kuat DAP sejak 1974.

Sumber terdekat Gerakan memberitahu MalaysiaGazette, calon Melayu berusia 40-an itu adalah antara empat nama yang diserahkan pucuk pimpinan parti bertanding di bawah logo Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November.

“Sebelum ini, ada empat nama diserahkan iaitu seorang ahli Gerakan berketurunan India, Melayu dan dua Cina termasuk Pengerusi Gerakan negeri, Datuk Seri Michael Gan Peng Lam, namun beliau menolak secara baik kerana mahu memberi laluan kepada calon muda.

“Malam tadi, calon Melayu berusia awal 40-an itu dihubungi Presiden Gerakan, (Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai) untuk sesi temubual dan nampaknya beliau ada peluang cerah menjadi calon namun keputusan rasmi belum diketahui,” katanya.

Menurutnya, calon lelaki itu merupakan ahli Gerakan sejak lebih 10 tahun yang turut memegang jawatan kanan dalam parti di peringkat negeri serta sudah dikenali pengundi dan ahli akar umbi.

Malah jelasnya, jika ia menjadi kenyataan, ini adalah kali pertama kerusi tradisi DAP itu dicabar calon Melayu sejak ia mula dipertandingkan di PRU4 pada 1974.

“Antara faktor dilihat sebelum meletakkan calon Melayu adalah untuk menarik sokongan pengundi muda berusia 18 tahun yang berdaftar secara automatik sebagai pengundi.

“Walaupun ini adalah kerusi tradisi DAP, Gerakan sebagai parti komponen PN di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah banyak berjasa kepada negara jadi kita yakin calon Melayu ini mampu mencipta kejutan pada PRU15,” katanya.

Sebelum ini, Gerakan yang merupakan parti komponen Barisan Nasional (BN) mengumumkan keluar daripada gagasan politik selepas kekalahan BN pada PRU14 sebelum menyertai PN pada Februari tahun lalu.

Parlimen Kota Melaka merupakan kubu kuat DAP sejak ia mula dipertandingkan pada PRU4 tahun 1974 yang menyaksikan ia dikuasai DAP sehingga PRU10 pada 1999.

MCA yang mewakili BN hanya berjaya merampas kerusi berkenaan PRU11 pada 2004 melalui calonnya, Datuk Wong Nai Chee, bagaimanapun DAP kembali merampas kerusi tradisinya itu pada PRU12 sehingga PRU14. – MalaysiaGazette

Pecah rekod, Gerakan pertaruh calon Melayu pertama di Kota Melaka?

Terkini

Berita Berkaitan