PAU 2023 dihadiri 60 peratus kepimpinan baharu kata Asyraf

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 membawa perubahan ketara apabila buat kali pertama membariskan kepimpinan baharu yang dilantik bagi sesi 2023/2026.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ini kerana pemilihan yang diadakan pada Mac lalu menyaksikan lebih 60 peratus kepimpinan parti adalah dalam kalangan muka baharu.

“PAU kali ini ada signifikannya yang tersendiri kerana ia adalah PAU selepas kita selesai pemilihan parti dengan membariskan wajah baharu dalam kepimpinan baik di peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Wanita, Pemuda mahupun Puteri.

“Diharapkan perwakilan yang hadir PAU kali ini dapat memanfaatkan perhimpunan ini dan memperkukuhkan kesepaduan, seterusnya komited dalam perjuangan parti.

“Saya menjangka dengan semangat dan istiqamah kepimpinan dan ahli di semua peringkat, ia dapat manifestasi kesungguhan, komitmen untuk mempertahankan agenda perjuangan UMNO dalam meneruskan pembelaan kepada agama, bangsa dan negara,” katanya seperti dipetik UMNO Online selepas menghadiri raptai acara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa di Plaza Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, pagi tadi.

Pemilihan UMNO yang diadakan pada Februari lalu menyaksikan dua muka baharu diberi peluang berada di kerusi Naib Presiden iaitu Menteri Besar Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, selain Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Muka baharu juga dapat dilihat bagi menerajui Pemuda dan Puteri UMNO.

Jawatan Ketua Pemuda UMNO dimenangi Mohamad Akmal Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau serta EXCO Melaka.

Pada masa sama, bagi jawatan Ketua Puteri UMNO pula diterajui Naib Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi yang menewaskan lima pesaingnya.

Sementara itu, Asyraf berkata, PAU 2023 akan diadakan selama empat hari bermula 7 hingga 10 Jun ini terpaksa diadakan lebih awal sebagai persediaan parti itu menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

“Ini juga perhimpunan yang bukan saja untuk kita bermuhasabah, tetapi sebagai medan untuk merencanakan gerak kerja bagi menghadapi siri pilihan raya terutama di enam negeri yang bakal diadakan dalam tempoh sebulan dua ini,” katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/06/1109714/pau-2023-dihadiri-60-peratus-kepimpinan-baharu

Terkini

Berita Berkaitan