PANAS! Idris kata lebih baik kerajaan Melaka berbilang bangsa daripada Melayu-Islam korup

Bekas Ketua Menteri Melaka Idris Haron berkata, adalah lebih baik negeri itu ditadbir oleh kerajaan yang berbilang bangsa dan bersih, berbanding kerajaan negeri yang diterajui oleh pemimpin Melayu-Islam korup dan tidak cekap.

Dalam temu bual dengan FMT, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang itu berkata, kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum ini mengatakan mereka adalah kerajaan negeri Melayu-Islam yang pertama di Melaka.

“Jadi saya berkata betul orang Melayu dan Islam, tetapi pilihan manakah yang kita ada?

“Kerajaan yang mendakwa mereka Melayu dan Islam, tetapi rosak, korup, tidak cekap, (yang terdapat) campur tangan, mendiskriminasi dan sebagainya.

“Ia berbanding dengan kerajaan pelbagai latar belakang, yang ada di dalamnya perpaduan kaum, yang lebih islamik dan boleh menjamin kesejahteraan rakyat di negeri Melaka ini.”

Idris mendakwa program bantuan yang dilaksanakan kerajaan negeri sebelum ini mendiskriminasi rakyat yang mempunyai latar belakang politik yang berbeza, sambil memberi contoh bantuan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) disampaikan di dewan yang digantung dengan bendera parti.

“Kita tidak mahu sikap parti menguasai kerajaan itu berlaku kerana apabila menyampaikan bantuan, dia akan tanya kamu ini menyokong siapa. Jika tidak menyokong saya, kamu tidak akan mendapat bantuan.

“Ini adalah satu penyakit yang cukup menekan rakyat Melaka pada hari ini. Saya yakin bantuan MAIM yang disampaikan itu juga adalah satu agenda yang tidak suci hati, tidak bertanggungjawab dan menasihatkan penerima supaya menyokong mereka dan sebagainya.”

Sebaliknya beliau berkata, Islam mengajar umatnya untuk membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira latar belakang.

“Islam tidak mengenal kaum, Islam tidak mengenal latar belakang politik. Jika kita benar-benar mengatakan kita kerajaan Melayu yang menjunjung Islam, maka tidak seharusnya berlaku diskriminasi politik dalam menyampaikan bantuan kepada rakyat Melaka.”

Idris percaya Pakatan Harapan (PH) adalah pilihan terbaik untuk pengundi Melaka dalam pilihan raya negeri (PRN) nanti, sambil menjelaskan bahawa ia bukan hanya mengenai calon Ketua Menteri semata-mata.

Katanya, menjadi Ketua Menteri bukan kejayaan yang dibanggakan tetapi memerlukan sokongan dan konsensus daripada 15 ADUN.

“Dalam konteks ini, sesiapa pun boleh menjadi (Ketua Menteri), selagi mereka mempunyai sikap yang betul untuk memimpin kerajaan bersih, bertanggungjawab, cekap dan telus serta tidak membiarkan berlaku campur tangan terhadap hal ehwalnya dan tidak mendiskriminasi.”

Katanya, beliau percaya potensi kombinasi antara dirinya dan bekas Ketua Menteri PH Adly Zahari adalah “tawaran yang terbaik” kepada rakyat Melaka untuk melihat keupayaan kerajaan memimpin dengan penuh integriti dan ketelusan.

“Kita akan buktikan kerajaan yang bakal mengambil alih nanti adalah kerajaan yang lebih bertanggungjawab, termasuk dalam pembelaan nasib rakyat dan tidak mendiskriminasi serta membahagikan kek ekonomi secara berkadar.”

Lebih baik kerajaan Melaka berbilang bangsa daripada Melayu-Islam korup, kata Idris

Terkini

Berita Berkaitan