DAP patut diam jelah!! DAP punca UMNO sukar nak dapat kepercayaan orang Melayu kata Jazlan

Seorang pemimpin Umno mengingatkan DAP bahawa parti itu turut menjadi liabiliti untuk menarik kembali sokongan Melayu.
 
Nur Jazlan Mohamed berkata, ia sudah tentu menjadi kesukaran bagi Umno memulih kepercayaan orang Melayu khususnya menghadapi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
 
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata, DAP sepatutnya menghargai usaha Umno dalam membolehkan kerajaan perpaduan ini dibentuk.
 
“Umno memang ikhlas mahu jayakan kerjasama dalam kerajaan perpaduan ini, sebab itu kita tidak cakap apa-apa. Tetapi, bila kita diam, DAP pula keluarkan kenyataan sebegini.
“Untuk keadaan sekarang pun, kita susah nak tarik sokongan Melayu kembali kepada Umno disebabkan DAP sendiri, kerana ramai orang Melayu tidak percayakan parti itu.
 
“Strategi DAP meletakkan orang Melayu sebagai pemimpin parti itu tidak lagi berjaya, jadi mereka perlu juga hargai Umno,” katanya menurut Utusan Malaysia.
 
Nur Jazlan mengulas kenyataan Naib Pengerusi DAP Perak, Aziz Bari berhubung peranan Umno menarik sokongan orang Melayu masih tidak jelas memandangkan peranan tersebut kini dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN).
 
Aziz berkata, berdasarkan rekod PRU15, pada peringkat awalnya undi PN dijangka meleset, namun yang berlaku adalah sebaliknya.
 
Malah Aziz berkata, Umno dilihat hanya menumpang kekuatan Pakatan Harapan (PH) kerana kelangsungan parti itu semakin pudar.
 
Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh turut berkata, bacaan politik pada PRN nanti tidak boleh mengambil kira rekod PRU15 lalu.
 
Ini kerana jelasnya, politik sekarang sentiasa berubah, sekali gus beliau optimis Umno mampu menarik kembali sokongan Melayu dan peroleh kemenangan pada PRN kali ini.
 
FMT

Terkini

Berita Berkaitan