Anak buaya gemparkan penduduk Taman Pulai

JOHOR BAHRU – 11/10/2020 Kemunculan seekor anak buaya di Taman Pulai Utama, di sini hari ini menggemparkan penduduk setempat.

Kehadiran anak buaya sepanjang kira-kira satu meter dan seberat lima kilogram menjadi tumpuan pada pukul 7.22 pagi ketika penduduk mahu memulakan urusan harian mereka.

Namun, bimbang dengan ancaman sang bedal berkenaan, penduduk menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai untuk mendapatkan bantuan.

Seramai lapan anggota daripada BBP Skudai dengan sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT) dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

Ketua Operasinya, Penguasa Bomba Kanan II Inggai Bakau berkata, pihaknya menangkap anak buaya tersebut dalam tempoh 10 minit dengan dibantu penduduk setempat.

“Anak buaya tersebut kemudian diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan pada jam 7.33 pagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terkini

Berita Berkaitan