Adun Pilah tak hadir sidang DUN kerana tak sihat, kata MB

Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun hari ini memberitahu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pilah, Mohamad Nazaruddin Sabtu tidak dapat hadir ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) walaupun dilihat berada di perkarangan Wisma Negeri, kerana tidak sihat.

“Saya tidak nafikan dia (Mohamad Nazaruddin) memang datang tadi, tetapi tidak dapat turut serta dalam persidangan DUN, kerana tidak sihat, tetapi beliau berada di pejabatnya.

“Apabila dia tidak sihat kita juga tidak boleh halang dia kalau dia nak datang, tambahan tidak ada pertanyaan untuk dia pada hari ini dalam dewan, dan ucapan lisan pun tidak ada soalan untuk dia.

“Walaupun dia datang, tetapi dia tidak berapa sihat dan tidak berapa ‘fit’ untuk hadir, jadi tidak mengapalah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai video yang tular di laman sosial Facebook sejak pagi tadi, Mohamad Nazaruddin yang dikatakan enggan keluar dari kenderaan, bagi menghadiri persidangan DUN pada hari ini.

Ditanya mengapa Mohamad Nazaruddin tidak diberhentikan memandangkan faktor kesihatannya itu, Aminuddin berkata jika beliau (Mohamad Nazaruddin) tidak sihat dan diberhentikan, bermakna adakah pegawai kerajaan lain yang tidak sihat juga perlu berhadapan dengan tindakan sama.

“Ramai orang sakit berada dalam kerajaan dan pegawai kerajaan yang sakit pun ramai, kalau macam tu mereka juga perlu berhentilah… tiba-tiba kita berhentikan dia dan sebulan lepas itu dia sihat macam biasa, apa kita nak buat.

“Tetapi setakat ini beliau masih menjalankan tugasnya, cuma dia tidak dapat ke dewan pada hari ini, mungkin sebab tidak mahu terlalu tertekan… program-program beliau sebelum ini beliau hadir,” katanya.

Aminuddin berkata mereka seharusnya mendoakan kesihatan Mohamad Nazaruddin, bagi membolehkan beliau kembali menjalankan tugas seperti biasa.

“Saya doakan dia supaya cepat sembuh dan dapat menjalankan tanggungjawabnya secara seratus peratus, kerana mungkin sekarang dalam 60 hingga 70 peratus. Saya berharap dia diberi kekuatan dan insy-Allah saya sentiasa mendoakan dia,” katanya.

– Bernama

https://m.malaysiakini.com/news/501234

 

Terkini

Berita Berkaitan