Saturday, September 23, 2023

Zahid gusar judi online makin berluasa, harap SKMM segera sekat dan tegas

syarikat judi online sekarang ini nampaknya semakin galak mempromosikan aktiviti judi atas talian malah siap undang pelakon dan penyanyi Melayu bagi mempromosikan perniagaan mereka.

Dua video iklan yang mempromosikan aktiviti judi atas talian yang tular baru-baru ini boleh diselesaikan dengan cepat iaitu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) boleh menyekat semua link atau laman web judi atas talian sebagaimana mereka menyekat ribuan laman web lucah kata Pengerusi Barisan Nasional, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya syarikat judi online sekarang ini nampaknya semakin galak mempromosikan aktiviti judi atas talian malah siap undang pelakon dan penyanyi Melayu bagi mempromosikan perniagaan mereka.

“Apa yang saya mahu tekankan kepada orang ramai jangan terpengaruh. Jika menurut video raya itu, adakah anda mahu menggunakan wang judi untuk persiapan hari raya ataupun memberi wang hasil judi kepada ibu bapa?

“Cukup-cukuplah. Ini bulan Ramadan sepatutnya tingkatkan amal ibadah untuk bertemu Allah SWT. Judi ini tiada kesudahan. Andai kata hari ini menang esok lusa pasti akan kalah lebih teruk. Bahkan doa orang yang memakan hasil judi tidak dimakbulkan Allah SWT,” katanya dalam ulasan berkaitan isu terbabit menerusi laman facebooknya, pagi ini.

Tambah Ahmad Zahid lagi beliau turut membaca kenyataan bahawa Bukit Aman sudahpun menyiasat pelakon dan penerbit video lagu hari raya yang mempromosikan aktiviti judi berkenaan, maka beliau berharap pihak polis mengekang habis-habisan aktiviti tidak bermoral itu.

“Judi menghancurkan negara, masyarakat, institusi sosial, keluarga malah menjeratkan individu terbabit dengan pinjaman ah long. Hasilnya sudah kita lihat.

“Saya juga membaca kenyataan SKMM bahawa pengguna media sosial perlu lebih bertanggungjawab terhadap iklan judi terbabit. Itu bukan jawapan yang tegas daripada SKMM. Selama ini SKMM bersama pasukan cybertroopers begitu tegas dengan komen-komen panas. Sepatutnya cybertroopers yang diupah membentuk masyrakat jangan berjudi. Ini masalah rakyat dan negara.”

Bidasnya, jawapan yang tegas adalah SKMM perlu berkata bahawa mereka akan membasmi sepenuhnya aktiviti judi atas talian.

“Kita seringkali mendengar alasan kedegilan syarikat judi meneruskan aktiviti biarpun pelbagai operasi sudah dijalankan. Ada juga alasan syarikat menggunakan cip yang berpangkalan di luar negara. Tetapi kita lupa bahawa rangkaian Internet dikawal oleh kerajaan. Bukankah begitu?” soalanya lagi.

Dalam pada itu, Portal Bernama melaporkan Lima lagi individu termasuk pengarah, komposer dan penyanyi yang terlibat dalam pembikinan video iklan lagu raya mempromosi kegiatan judi ditahan polis malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata penahanan kesemua mereka dibuat di sekitar ibu negara dan Selangor.

“Pengarahnya yang diburu sebelum ini dipercayai mendapat arahan daripada sindiket perjudian atas talian untuk menerbitkan video tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata dengan tangkapan itu, jumlah keseluruhan individu yang ditahan terlibat dalam pembikinan dua video iklan lagu raya kontroversi tersebut, adalah seramai 18 orang setakat ini.
Mohamad Zainal berkata kesemua lima individu terbabit akan direman hari ini.

Masalah Judi Online Perlu Diselesaikan, SKMM Boleh Sekat Segera – Ahmad Zahid

Berkaitan