Saturday, September 23, 2023

Warga emas maut kereta ‘terjun’ dari tingkat tiga

Seorang warga emas maut apabila kereta dipandunya terjunam jatuh dari tingkat tiga tempat letak kereta Apartment Melur, Jalan 2/48A, Bandar Baru Sentul, di sini, petang ini.

Mangsa berusia 63 tahun, disahkan meninggal dunia ditempat kejadian oleh paramedik Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang bergegas ke lokasi itu selepas menerima panggilan kecemasan.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul, Hafizan Hassan memaklumkan, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 6.18 petang ini.

Katanya, sembilan anggota BBP Sentul bersama sebuah jentera dan satu EMRS tiba, dan mendapati sebuah kereta jenis Toyota Land Cruiser terjatuh dari bangunan tiga tingkat.

“Siasatan mendapati itu mangsa yang menaiki kereta bernombor pendaftaran PDF7199 telah terlanggar tembok tempat letak kereta di tingkat 3 dan menjunam ke bawah.

“Mangsa seorang lelaki berumur 63 tahun berbangsa Melayu telah disahkan meninggal dunia oleh pihak paramedik HKL.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. – MalaysiaGazette

Berkaitan