Warga emas ditahan dipercayai lakukan kelucahan melampau pada kanak-kanak

SEREMBAN – Polis menahan seorang warga emas yang dipercayai terlibat dalam perbuatan kelucahan melampau ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, seperti yang tular dalam sebuah video di Whatsapp dan Facebook, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Sembilan, ACP Wan Rukman Wan Hassan berkata suspek berusia 65 tahun yang merupakan seorang pemandu lori ditahan di lebuhraya Gopeng, Perak, kira-kira pukul 9.20 malam tadi.

“Semalam polis telah menerima laporan daripada ibu mangsa kira-kira pukul 3 petang ekoran tersebarnya satu video yang telah tular melalui aplikasi Whatsapp dan Facebook yang menunjukkan anak pengadu, dipaksa oleh suspek melakukan perbuatan kelucahan melampau di dalam sebuah kereta.

“Tindakan segera bagi mengesan suspek telah dijalankan anggota JSJ dan berjaya mengesan suspek yang ketika itu dalam perjalanan ke Padang Besar, Perlis, untuk menghantar barang menggunakan lori jentera berat,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata mangsa telah di bawa ke hospital untuk pemeriksaan dan disahkan tiada elemen rogol terhadap mangsa.

Katanya polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini dan suspek kini direman selama enam hari bermula hari ini untuk disiasat di bawah Seksyen 14(a) dan Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Ekoran penularan maklumat ini semalam, polis setakat ini menerima 17 laporan polis yang dibuat orang awam di beberapa buah negeri melahirkan rasa tidak puas hati terhadap perbuatan suspek.

“Kita juga ingin jelaskan bahawa kereta terbakar yang dikatakan kereta suspek seperti yang tular bersama maklumat mengenai perbuatan suspek itu, adalah tidak benar… kereta yang terbakar itu tidak ada kaitan dengan tindakan kelucahan melampau yang dilakukan suspek ke atas mangsa,” katanya.

Terkini

Berita Berkaitan