WALAUPUN KALAH PRN! Undi Pas meningkat bersama PN, berbanding bertanding solo kata Awang Hashim

Keputusan Pas untuk bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) tidak merugikan parti itu, bahkan berjaya meningkat sokongan dan undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu lalu.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Awang Hashim berkata, jumlah undian yang diperolehi Pas semasa bertanding bersama PN lebih baik berbanding ketika parti itu bertanding secara bersendirian sebelum ini.

“Saya tak pernah kata kita kalah dalam PRN Johor, dan kita memberi satu peningkatan (undi) yang sangat besar bila kita berada dalam PN ini, berbanding ketika kita bertanding solo.

“Cuma kita dalam PN belum cukup untuk mencapai graf kemenangan, sebab kita tengok kepada analisis, kalaulah undi-undi pembangkang ini bersatu, BN tidak dapat memerintah di Johor.

“Setakat ini (kedudukan) PN sekarang di mana Pas dan Bersatu hampir 90 peratus Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingkan PN berada di tempat kedua,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sabtu lalu, Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan selesa apabila berjaya memperoleh kejayaan majoriti dua pertiga dengan menawan 40 daripada 56 kerusi DUN Johor.

Keputusan PRN Johor menyaksikan BN berjaya menewaskan pencabar lain iaitu Pakatan Harapan (PH) menang 11 kerusi DUN, diikuti PN (3) manakala PKR dan MUDA masing-masing satu kerusi.

Dalam pada itu, Awang tidak menolak kemungkinan trend sokongan itu boleh memberi cabaran besar kepada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

“Jadi PN sekarang ini menjadi satu cabaran yang besar kepada BN dalam mana-mana pilihan raya akan datang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Undi Pas meningkat bersama PN, berbanding bertanding solo – Awang Hashim

Terkini

Berita Berkaitan