[Video] Usir kereta di laluan kecemasan, paramedik sanjung mat rempit ‘hero jalanan’

Biarpun kerap ditegur, sikap sebahagian pengguna jalan raya khususnya pemandu kereta yang gemar menggunakan laluan kecemasan ketika aliran trafik sesak terus diperkatakan.

Ironinya, golongan bermotosikal termasuk penghantar barang yang selalunya dipandang negatif termasuk digelar “mat rempit” menerima pujian kerana mereka membantu “mengusir kenderaan dari laluan kecemasan”.

“Golongan rider (penunggang motosikal) inilah yang terlalu banyak membantu kami selaku petugas kecemasan ketika dalam perjalanan,” kata paramedik kecemasan dalam hantaran Twitter Malaysia Most Virall bertajuk “Luahan seorang paramedik kecemasan”.

“Untuk rider (penunggang motosikal) sekalian, jasamu dikenang, budimu disanjung,” kata paramedik yang tidak dinamakan.

Paramedik itu kesal dengan sikap pengguna jalan raya, dipercayai merujuk pemandu kereta, yang dianggapnya “terlalu biadab” sekaligus menyukarkan tugas memberi bantuan kecemasan mangsa nahas.

Mengepil dua video sebagai contoh, dipercayai rakaman kamera di papan pemuka ambulans, rakaman di Lembah Klang memperlihat gelagat pengguna jalan raya yang menyekat laluan kecemasan.

“…setiap saat berdetik ketika kami di dalam kabin ambulans untuk ke lokasi kejadian, ibarat emas! Halangan seperti klip video ini adalah pencabar masa kami,” kata paramedik itu.

“Ada mangsa yang tidak kritikal dalam kemalangan tetapi disebabkan pendarahan tanpa henti, mangsa mengalami ‘kejutan pendarahan’ yang membawa maut,” katanya.

“Ada juga yang sesak nafas separa kritikal akibat dada terhentak ke permukaan keras kerana ketibaan bantuan prakecemasan lambat, mangsa yang dikategorikan boleh diselamatkan meninggal (dunia) akibat pernafasan terhenti dan sekaligus memberhentikan fungsi organ jantung”.

Menerusi hantaran itu, pentadbir Twiter berkenaan turut mencadangkan kerajaan supaya menarik balik lesen pemandu yang menghalang laluan kecemasan.

Pengguna maya tidak ketinggalan memberi pandangan mereka berhubung perkara tersebut.

Amirul Abdullah: Orang malaysia ni takut kena saman,apa kata hospital collaborate (kerjasama) dengan polis trafik masa setiap kali accident (kemalangan)..polis escort (mengiring) sampai tempat tu, pasti tak ada sapa berani guna emergency lane (laluan kecemasan).

Alin Yusoff 24: Ubah mentaliti rakyat, kita tak rasa bagaimana keluarga kita dalam ambulans tu atau diri kita sendiri yang perlu bantuan kecemasan. Selepas ini guna laluan kanan.

Qiyaaahhh: Sakit hati pulak tengok kereta-kereta kat emergency lane (laluan kecemasan) tu

Ftnizzt: Rasa macam nak masuk video ni tampar sorang-sorang.

Nasuha Sanusi: Diorang kan ada video ni, boleh tak kalau diorang jadikan bukti ni untuk saman orang yang tak berguna macam tu? Sekadar bertanya.

Naj Sparkle: Mentaliti kelas sampah

Hasran Rosli: Untuk kesalahan begini, naikkan taraf saman ke satu nilai yang tinggi. Biar pelaku benar-benar serik.

Terkini

Berita Berkaitan