MOSCOW – Russia menuduh Amerika Syarikat (AS) ‘menuang minyak ke dalam api’ apabila berjanji untuk menghantar sistem peluru berpandu dan senjata berketepatan tinggi ke Ukraine dalam langkah yang dianggap Kremlin akan memburukkan lagi konfrontasi, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Kenyataan Moscow itu disiarkan selepas AS menetapkan pakej ke-11 rancangan penghantaran bantuan keselamatan untuk Kiev.
Menyentuh perkara itu, pegawai-pegawai kanan pentadbiran AS mengesahkan bahawa Sistem Roket Artileri Mobiliti (HIMARS) juga akan dihantar ke Ukraine.
Russia kelmarin mengeluarkan amaran dengan menyatakan bahawa langkah sedemikian akan meningkatkan risiko campur tangan AS secara langsung dalam konflik dengan Moscow.
Timbalan Menteri Luar Russia, Sergei Ryabkov memberitahu agensi berita RIA Novosti bahawa sebarang bekalan senjata yang berterusan akan meningkatkan risiko perkembangan konflik.
Ryabkov menjawab soalan mengenai kemungkinan konfrontasi langsung antara Moscow dan Washington.
Washington katanya akan membekalkan Ukraine dengan sistem peluru berpandu canggih termasuk HIMARS yang boleh melancarkan sebilangan peluru berpandu berketepatan tinggi secara serentak.
HIMARS akan dilengkapi dengan peluru berpandu yang mempunyai jarak kira-kira 80 kilometer.
Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov turut mengkritik langkah AS.
“Kami percaya bahawa AS sengaja mahu menuang minyak ke dalam api. Bekalan senjata seperti itu tidak akan membantu Kiev untuk menyambung semula rundingan damai,” kata Peskov. – Agensi