Uncle Lim bersuara lagi, harap PM dedahkan siapa yang menteri berada di luar negara

Veteran DAP Lim Kit Siang memuji Perdana Menteri atas langkahnya mengarahkan para menteri yang berada di luar negara pulang segera dan meminta mereka yang merancang untuk bercuti membatalkannya.

Bagaimanapun, katanya, Ismail Sabri Yaakob harus mendedahkan nama menteri-menteri yang kini berada di luar negara kerana rakyat ingin tahu sama ada mereka pulang ke tanah air seperti yang diarahkan atau mengingkari arahan berkenaan.

“Berapa ramai menteri berada di luar negara ketika cuti akhir tahun mereka?

“Tiada sebab anggap ini rahsia rasmi, kerana rakyat berhak tahu maklumat ini.

“Mereka dapat tentukan jika ada menteri terbabit yang mengingkari arahan PM untuk membatalkan cuti dan pulang ke tanah air,” katanya dalam kenyataan.

Lim berkata, ini akan menjadi ujian sama ada Ismail mampu menerapkan disiplin dalam kalangan anggota Jemaah Menterinya.

Semalam, Ismail mengarahkan semua menteri yang berada di luar negara membatalkan cuti mereka dan pulang ke tanah air serta-merta, manakala menteri lain yang mempunyai rancangan bercuti diminta menangguhkannya.

Lim juga meminta Ismail menjelaskan sama ada menteri yang pulang akan dikecualikan daripada kuarantin, memandangkan rakyat Malaysia yang lengkap vaksinasi dikehendaki berbuat demikian selama tujuh hari selepas pulang dari luar negara.

“Tambahan, mereka yang pulang dari negara berisiko tinggi di mana varian Omicron menular dikehendaki memakai peranti pemantauan digital. Adakah ini turut diguna pakai bagi menteri?” soalnya.

Mengenai sumbangan kerajaan sebanyak RM10,000 kepada waris korban banjir, Lim berkata, jumlah ini sepatutnya diberikan kepada semua mangsa, terutamanya mereka yang kehilangan segala-galanya dalam bencana itu.

“Bantuan wang tunai RM1,000 setiap keluarga perlu dinaikkan kepada RM10,000, memandangkan mangsa banjir kehilangan segala-galanya, termasuk perabot, dokumen peribadi, peralatan dapur serta wang.

“Mereka perlu bantuan tunai yang lebih besar supaya mereka dapat bangkit semula secepat mungkin.”

Dedah nama menteri berada di luar negara, Kit Siang beritahu PM

Terkini

Berita Berkaitan