UMNO atau PPBM, harimau yang gagah sahaja boleh hidup dan berkuasa!!

Umno akan memanfaatkan masa sehingga pilihan raya umum (PRU) ke-15 untuk menghancurkan parti serpihannya Bersatu, ramal penganalisis politik Prof James Chin.

Dia menggunakan kiasan peribahasa Cina bahawa dua ekor harimau tidak akan dapat berkongsi sebuah gunung bermaksud dalam satu kawasan tidak boleh ada dua tokoh yang memimpin.

“Sekarang, ada dua harimau di gunung yang sama, hanya seekor yang akan terus hidup.

“Dan jika anda lihat cara Umno melayan harimau yang seekor lagi (Bersatu) yang cuba mengambil alih gunung, mereka (Umno) telan sahaja dia (Bersatu).

“[…] Melainkan kita mendapat satu pemenang yang jelas dalam PRU akan datang, kita akan terus berada dalam ketidakstabilan politik yang berpanjangan,” katanya.

Chin berkata demikian pada webinar bertajuk “Kebangkitan Semula Umno: Apa Seterusnya untuk Malaysia?” anjuran Malaysiana LCMS Sdn Bhd, bersempena pelancaran buku “Paradise Lost: Mahathir & The End of Hope” karangan Dennis Ignatius semalam.

 

Webinar itu turut disertai Dennis dan Mohamed Tawfik Ismail, serta Prof Mohd Tajuddin Mohd Rasdi dan Tommy Thomas selaku panelis selain Chin.

 

Terdahulu moderator Jonson Chong menyoal Chin (gambar, atas) mengenai bagaimanakah visi Malaysia yang dibayangkannya selepas 20 tahun yang akan datang, serta mengulas ucapan awal Dennis bahawa Malaysia sedang menuju ke arah negara yang gagal.

Tidak mahu meramal jauh 20 tahun ke hadapan, Chin sebaliknya mengulas mengenai PRU15 yang dia jangkakan akan berlaku pada tahun hadapan berbanding 2023 – tahun ia harus selewat-lewatnya dilangsungkan, iaitu pada bulan Julai.

Menurut Chin lagi, negara yang berada di ambang kegagalan sekalipun, boleh mengubah nasibnya daripada terjerumus menjadi negara gagal jika diterajui oleh seorang pemimpin yang tepat.

Katanya, antara punca kegagalan Malaysia kerana terdapat para pemimpin negara masa kini yang tergolong daripada generasi lama dan terperangkap dalam minda lama.

“Generasi terkini pemimpin, mereka yang gagalkan negara ini. Tak ada cara untuk membuatkan mereka mengubah cara mereka berfikir.

“Orang macam Dr Mahathir Mohamad, sangat tekal dalam cara pemikiran mereka. Bukan sahaja generasinya, (tetapi juga) generasi Muhyiddin Yassin, generasi Ismail Sabri Yaakob, mereka ini datang daripada tempoh masa spesifik dalam pembangunan Malaysia (yang membentuk cara pemikiran mereka).

“Mereka takkan berubah,” katanya.

Gambar fail, Ismail Sabri dan Muhyiddin.

 

Kata Chin, jika dilihat daripada sejarah kontemporari, terdapat banyak negara yang berada di ambang kegagalan institusi berjaya dipulihkan dalam kadar segera apabila dipimpin oleh seorang pemimpin yang tepat.

“Masalahnya di Malaysia, anda cari-cari, tak ada pemimpin sebegitu. Saya rasa itulah sebab orang menjadi semakin pesimis.”

Oleh sebab itulah, kata Chin, sejak beberapa tahun dahulu dia sering menerapkan (advocating) idea agar Malaysia melangkau generasi pemimpin-pemimpin tua yang ada sekarang untuk mencari pemimpin yang satu atau dua generasi lebih muda – dalam lingkungan usia 40 ke awal 50 tahun.

“Hujah yang selalu (diterima) adalah, orang-orang muda ini, bagaimana kita nak tahu mereka lebih baik daripada (pemimpin) generasi sekarang?

“Jawapan saya terhadap kritikan itu sentiasa bahawa mereka tak akan menyebabkan kerosakan lebih teruk daripada apa yang telah dilakukan kini,” katanya.

Untuk rekod, Dr Mahathir kini berusia 96 tahun, Muhyiddin 74 tahun manakala Ismail Sabri pula berusia 61 tahun.

 

 

Tambah Chin lagi, hal sama dapat dilihat pada negara-negara lain yang turut terperangkap dalam situasi sama seperti Malaysia seperti di Asia Timur dan Eropah Timur – yang memakan masa 15 hingga 20 tahun bagi negara-negara berkenaan menstabilkan semula negara mereka.

Mengulas mengenai demokrasi di negara ini, katanya, Malaysia tidak pernah mengamalkan demokrasi dalam erti kata yang sebenar. Sebagai contoh, katanya, sejak kemerdekaan hingga sebelum PRU12, parti yang menang dalam PRU sentiasa menjadi kerajaan pemerintah yang kuat.

Meskipun pilihan raya diadakan, terdapat amalan-amalan manipulasi (rigging) yang dilakukan seperti persempadanan semula kawasan pilihan raya serta mekanisme pembuangan undi yang memberi kelebihan kepada parti pemerintah.

“Selalunya, parti berkuasa (ketika itu), BN, kalau dilihat PRU sehingga 2008, sebelum undi pertama dibuang, kamu boleh katakan bahawa mereka sudah ada sekurang-kurangnya 40 peratus kerusi dalam poket.”

BN mengalami kemerosotan teruk keputusan pilihan raya pada PRU12 apabila gagal mengekalkan penguasaan majoriti dua pertiga di parlimen sehingga membawa kepada peletakan jawatan perdana menteri ketika itu Abdullah Ahmad Badawi beberapa bulan kemudian.

Kata Chin, terdapat pendapat cendekiawan yang melihat amalan demokrasi tidak dapat berakar umbi di rantau Asia kerana perbezaan budaya politik, sedangkan demokrasi sebenar dilihat hanya dapat subur di negara yang mempunyai institusi, taraf pendidikan dan tahap kekayaan yang baik.

Harapan terbaik untuk amalan demokrasi di Malaysia, katanya melalui kerajaan pelbagai kaum dengan kaum minoriti benar-benar diberikan jawatan tinggi dan mempunyai suara dalam kerajaan, selain norma politik yang bersifat merentasi spektrum politik.

Katanya lagi, sistem berdemokrasi di Malaysia tidak akan mengalami perubahan besar, melainkan negara berdepan dengan peristiwa yang mendatangkan trauma besar.

“[…] Sehinggalah kamu tiba di takat krisis, malang sekali, saya katakan bahawa keadaan akan terus kekal serupa,” katanya.

https://www.malaysiakini.com/news/590723

Terkini

Berita Berkaitan