Tun M kata Najib punca Malaysia ketinggalan berbanding negara jiran

Najib Razak, bukannya Pakatan Harapan (PH), yang bertanggungjawab atas situasi Malaysia yang ketinggalan berbanding negara jiran, kata Dr Mahathir Mohamad.

Beliau menyalahkan “silly agreements” (perjanjian bodoh) dan “projek terlalu mahal” ahli Parlimen Pekan itu.

Dalam satu rajutan Twitter hari ini, bekas perdana menteri itu berkata, “korupsi kerajaan” Najib dan tindakannya memulakan projek besar yang terlalu mahal dan memihak kepada pihak tertentu tanpa membawa manfaat kepada rakyat menjadi punca masalah itu.

“Siapa yang beliau suruh fokus pada ekonomi? Tak mungkin PH, kerana beliau yang merekayasa pertukaran kerajaan ikut pintu belakang, bukan sekali tetapi dua kali,” katanya.

Pengerusi Pejuang itu memberitahu Najib untuk bertanya kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengapa Malaysia masih ketinggalan berbanding negara jiran, kini apabila Umno berkuasa.

Najib minggu lepas berkata, negara ketinggalan berbanding negara jiran dan menyalahkannya atas keputusan kerajaan PH membatalkan banyak projek. Beliau mendakwa pembatalan itu bermotifkan politik dan dilakukan sewenang-wenangnya.

Mempertahankan keputusan untuk menangguhkan projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR), Mahathir berkata, langkah meneruskannya hanya akan “mengeringkan poket” Jabatan Perbendaharaan. Wang itu diperlukan untuk membayar balik pinjaman Najib sebelum ini, tambahnya.

Pada 2018, kerajaan PH pimpinan Mahathir memutuskan untuk menangguhkan projek HSR memandangkan kosnya tinggi.

Pada 2020, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai oleh Muhyiddin Yassin membatalkan projek itu dan mencadangkan laluan HSR KL-Johor sebagai ganti. Malaysia kemudiannya terpaksa membayar RM320 juta kepada Singapura sebagai pampasan kerana membatalkan projek itu.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/07/20/salah-najib-malaysia-ketinggalan-kata-dr-m/

Terkini

Berita Berkaitan