Tok Mat kata gelarlah apa saja, itik, angsa, harimau dekat UMNO….

Gelarlah dengan apa pelbagai gelaran apa pun – itik, angsa, harimau dan sebagainya kerana hakikatnya UMNO masih lagi parti Melayu terbesar, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Walaupun sebagai parti politik terbesar di Malaysia, UMNO bangkit semula bukan kerana “ubatan mujarab” Pas sebaliknya kerana dukungan orang Melayu terhadap UMNO.

Selain itu kerana buruknya prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Jelas Mohamad, tanpa UMNO, Pas juga tidak boleh menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan hari ini.

Malah, katanya, Pas tahu, tanpa UMNO parti itu tidak akan dapat kekal menjadi sebahagian dalam Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.

Oleh itu, tegas beliau, jika Pas merasakan Barisan Nasional (BN) tidak lagi relevan, pulangkanlah kepada rakyat untuk memutuskannya dan biarlah rakyat juga memutuskan sama ada Pas dan PN masih relevan atau tidak.

Mengulas kenyataan tajam Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, beliau berkata, Pilihan Raya (PRN) Negeri Johor diadakan atas pelbagai sebab strategik dan bukan kerana ia kehendak ‘kluster’ tertentu dalam UMNO.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad mempunyai sebab tersendiri bagi mendapat mandat baharu dan itu bukan urusan parti lain untuk mempersoalkannya.

Hasni telah diberikan kepercayaan sepenuhnya oleh parti untuk menasihati Sultan Johor, sesuai dengan keadaan dan keperluan bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Oleh itu, dengan menuduh ‘kluster’ itu dan ini sebagai penyebabnya adalah sangat tidak munasabah kerana istilah-istilah kluster itu hanya ciptaan musuh UMNO sahaja.

”UMNO bukan seperti parti lain. Tiada ‘wala’ kepada Presiden dan tiada seorang yang berkuasa memutuskan segalanya. Ia adalah parti untuk semua dan bukan dikuasai oleh kelompok tertentu sahaja.

”Bila UMNO memutuskan menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin, cuma hanya 12 Ahli Parlimen UMNO sahaja yang akur. Demikianlah demokratiknya UMNO,” katanya. – MalaysiaGazette

Terkini

Berita Berkaitan