Terkini!! Syor sidang khas Parlimen demi hala tuju ketenteraan negara

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencadangkan kerajaan memanggil satu sidang khas Parlimen berkaitan hala tuju ketenteraan, ekoran skandal rasuah yang terpalit melibatkan aset pertahanan negara.

Ini susulan pendedahan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkaitan kegagalan menyiapkan enam kapal tempur pesisir (LCS) dalam kontrak projek bernilai RM6.083 bilion.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berkata, cadangan tersebut bagi menyelamatkan industri pertahanan negara daripada terpalit dengan skandal rasuah dan penyelewengan pada masa depan.

“Ini kerana apa-apa perancangan berkaitan ketenteraan perlu ada semua parti dan ia tak boleh hanya bertempoh masa pendek kerana kerajaan sering bertukar-tukar, berbilion ringgit melangkaui satu penggal tetapi dengan adanya sidang khas. Bukan hanya untuk tuding jari tetapi juga kita buat satu kertas putih untuk dibentangkan.

“Walaupun perubahan kerajaan berlaku di masa akan datang tetapi dalam bab ketenteraan perbelanjaan yang cekap dan adil dapat dijalankan tidak kira siapa menteri pertahanan nanti,” katanya di hadapan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini.

Terdahulu, Syed Saddiq serta enam individu dirakam percakapan di IPD Dang Wangi bagi membantu siasatan berkaitan himpunan Mana Kapal LCS di hadapan Sogo, Ahad lalu.

Antara yang hadir ialah Naib Setiausaha Agung MUDA, Amir Abd. Hadi, Luqman Long dan Muhammad Syahmi.

Enam individu lain pula ialah Abbas Salimi, Howard Lee, Siti Kassim, Sheikh Omar Bagharib Ali, Sevan Doraisamy dan Usaid Muhamad Asmadi.

Kesemua mereka hadir pada pukul 3 petang dan diambil keterangan kira-kira 40 minit.

Syed Saddiq juga mahu kerajaan menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) disusuli dengan pendakwaan ke atas mereka yang mendalangi skandal tersebut.- UTUSAN

Terkini

Berita Berkaitan