Terkini!! Putrajaya lewat bertindak, MPN tak boleh terima, kata Muhyiddin

Muhyiddin Yassin membidas kelewatan pentadbiran Ismail Sabri Yaakob bertindak ke atas beberapa cadangan Majlis Pemulihan Negara bagi memacu pemulihan negara, mendedahkan bahawa pihaknya sudah menghantar memorandum berkaitan lebih empat bulan lalu.

Di sebalik tuduhan bahawa MPN tidak berfungsi dengan baik dalam memacu pemulihan, Muhyiddin menjelaskan cadangan dikemukakan untuk kelulusan Jemaah Menteri menerusi memorandum pada 18 Mei, berkenaan menangani masalah aliran tunai dan pembiayaan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS).

Ini termasuk cadangan spesifik membenarkan bank meneruskan program moratorium untuk PMKS, katanya.

“Kelewatan bertindak dalam hal ini adalah sesuatu yang tidak dapat diterima,” kata pengerusi MPN itu dalam kenyataan.

Muhyiddin akui kehairanan dan tertanya adakah Jemaah Menteri Ismail tidak membincangkan cadangan-cadangan MPN itu dalam mesyuaratnya lebih empat bulan lalu.

“Ini sesuatu yang agak mengecewakan. Suatu perakuan penting MPN kepada Jemaah Menteri untuk membantu memulihkan industri PMKS yang menyumbang 37% kepada KDNK tidak mendapat perhatian segera kerajaan.”

Secara keseluruhan, MPN mengemukakan 95 saranan untuk dipertimbangkan pentadbiran Ismail, dengan 69 daripadanya membabitkan isu sosio-ekonomi dan 26 berkaitan tadbir urus, katanya.

Daripada 86 saranan yang telah diluluskan, hanya 16 saranan telah dilaksanakan sepenuhnya, 30 sedang dalam proses pelaksanaan, manakala 14 masih belum dilaksanakan.

“Saya tak mahu tuding jari kepada sesiapa. Tujuan saya (mengatakan perkara ini) adalah supaya semua orang sedar negara bukan dalam keadaan yang baik pada masa ini.

“Walaupun ada tanda-tanda positif, ini hanya sementara sebelum negara berdepan kemerosotan ekonomi global tahun depan. Jika tindakan segera tidak diambil untuk menangani keadaan semasa, rakyat akan menderita,” katanya.

Putrajaya lewat bertindak, MPN tak boleh terima, kata Muhyiddin

Terkini

Berita Berkaitan