KUALA LUMPUR: Bersatu tidak menolak kemungkinan menukar kerusi dengan PAS bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Hamzah Zainudin, berkata langkah itu antara strategi mereka untuk memenangi PRU15.
“Selama kami berbincang dengan parti komponen dalam PN dalam menghadapi PRU15, perkara penting adalah untuk memastikan pemimpin semua komponen boleh menang kawasan yang akan kita calonkan.
“Sebab itu kita kena lihat kepada pertukaran kerusi, dahulunya mungkin dimenangi Bersatu, sekarang mungkin PAS perlukannya atau kawasan PAS menang dulu kali ini tukar, melihat kepada kemampuan calon-calon kita boleh menang di kawasan itu,” katanya selepas taklimat Op Banjir di Bukit Aman.
Media pada akhir bulan lalu melaporkan pengagihan kerusi antara parti komponen PN akan dimuktamadkan tidak lama lagi.
PAS pilih Bersatu atau Umno?
Hamzah yakin PAS akan memilih untuk kekal dalam PN berbanding Umno.
“Rundingan adalah sesuatu strategi yang diperlukan dalam pilihan raya. Ia adalah sesuatu isu yang berbeza,” katanya.
PAS sebelum ini berkata, pihaknya sedang berusaha memastikan kerjasama Umno dan Bersatu dalam menjayakan penyatuan ummah bagi menghadapi PRU15.
Terbaru, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin berkata, parti itu akan memuktamadkan pendirian mereka pada Khamis ini, selepas meneliti hubungan antara Umno dan Bersatu, dengan kedua-dua parti itu saling menetapkan syarat untuk kerjasama politik.