Seorang ahli perniagaan membuat laporan polis berhubung dakwaan bahawa bekas perdana menteri, Najib Razak diberi layanan istimewa ketika menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Syeikh Fahmi Syeikh Jaafar membuat laporan polis itu di Balai Polis Petaling Jaya, hari ini.
Dalam laporan berkenaan, Syeikh Fahmi berkata dia terbaca satu hantaran di Twitter bertajuk ‘Najib tipu sakit’ yang mendakwa bekas perdana menteri itu diberikan satu kod nama istimewa ‘merpati’ serta diberi layanan berbeza berbanding banduan lain.
Justeru dia menyifatkan layanan istimewa tersebut sebagai ‘konspirasi jahat’ dan menggesa pihak polis menyiasat mereka yang terlibat.
“Najib Razak yang merupakan seorang banduan tidak sepatutnya dibelanjakan dana kerajaan dengan sebegitu banyak jika ia (dakwaan tersebut) benar.
“Konspirasi jahat untuk memberikan layanan istimewa kepada Najib Razak ini jelas menunjukkan wujud elemen salahguna kuasa dan pecah amanah dalam tugasan oleh pihak atasan termasuk perdana menteri, menteri kesihatan, pengarah kementerian kesihatan, pegawai-pegawai tinggi kerajaan, pihak penjara dan beberapa pihak lain yang perlu disiasat oleh pihak polis yang turut sama terlibat dalam pengkhianatan tugas dan amanah kepada rakyat dan negara,” katanya dalam laporan tersebut.
Antara lain, mesej di Twitter itu mendakwa sel Najib di kompleks Penjara Kajang telah diubah suai dan ada rancangan untuk memindahkannya ke Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) bagi membolehkan lebih banyak akses kepada pelawat dan kemudahan VVIP.
Syeikh Fahmi ditemani setiausaha peguam Pejuang, Akif Rusli, timbalan ketua peguam Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali dan peguam Muhammad Fakhruddin Nasraldin ketika membuat laporan berkenaan.