Thursday, October 5, 2023

Terkini!! PAS masih terbuka bentuk gabungan PRU15, kata Takiyuddin

PAS masih terbuka untuk membentuk gabungan dengan mana-mana parti politik bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan.

Selagi belum tiba hari penamaan calon, katanya semua parti termasuk PAS masih mempunyai pilihan menyertai atau mewujudkan sebarang gabungan politik.

“Hari penamaan calon menentukan satu-satu parti itu di dalam gabungan mana dan sebagainya. Jadi, saya rasa belum berakhir sekiranya ada parti ingin membuat atau mewujudkan gabungan,” katanya dipetik Bernama.

Beliau yang juga menteri tenaga dan sumber asli berkata demikian selepas merasmikan Karnival KetSA @ Kota Bharu Prihatin anjuran Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KetSA ) di Kota Bharu.

Ditanya sama ada keputusan PAS memperkukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) atas prinsip penyatuan ummah juga bererti parti itu menolak Muafakat Nasional (MN), Takiyuddin yang juga penyandang kerusi Parlimen Kota Bharu menafikan dakwaan itu.

“Kenyataan itu mengukuhkan hubungan dengan PN kerana PAS adalah gabungan PN…tetapi ada jumpa (dalam) kenyataan menyatakan kita (PAS) memutuskan hubungan dengan MN? Ada atau tidak?” soalnya.

Mengenai kenyataan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berhubung parti itu sedia mempertimbangkan jalinan kerjasama dengan Pejuang pada PRU15, Takiyuddin berkata, PAS tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.

“Dia (Bersatu) belum minta pandangan kita, saya boleh mengesahkan. Ura-ura itu saya tidak tahu betul atau tidak, kalau betul perkara itu belum dalam pengetahuan kita…kita tidak dirujuk atau diberitahu.

“Berada dalam satu keluarga nak buat apa-apa kita berbincang. Contohnya, PAS berbincang dengan Umno, kita maklumkan dengan Bersatu secara rasmi,” katanya.

PAS masih terbuka bentuk gabungan PRU15, kata Takiyuddin

Berkaitan