Terkini!! Najib dimasukkan ke hospital, perbicaraan 1MDB ditangguh

Perbicaraan 1MDB Najib Razak di Mahkamah Tinggi di sini ditangguhkan selepas bekas perdana menteri itu dimasukkan ke hospital semalam.

Peguam, Shafee Abdullah memberitahu mahkamah, pasukan undang-undang dimaklumkan tekanan darah Ahli Parlimen Pekan itu “turun naik” dan doktor belum menentukan puncanya.

Katanya, Najib akan dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.

Ditanya hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah, Shafee berkata Najib telah dimasukkan ke wad di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan hospital itu tidak mengeluarkan sijil cuti sakit (MC).

Mahkamah menetapkan esok untuk sebutan bagi pihak pembelaan mengemas kini keadaan Najib.

Bekas timbalan ketua setiausaha Perbendaharaan Siti Zauyah Mohd Desa dan Pengurus Cawangan AmBank Jalan Raja Chulan R Uma Devi dijadual memberi keterangan hari ini.

Semalam, perbicaraan berlangsung setengah hari selepas pendakwa ad hoc Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa Najib perlu berjumpa doktor.

Sri Ram berkata kesihatan Najib “agak teruk” susulan ubat darah tinggi baharu yang diambilnya menyebabkan kesan teruk.

Pegawai khas Najib, Mukhlis Maghribi berkata, Najib menjalani ujian kolonoskopi pada Sabtu lalu dan doktor menemui ulser dalam perutnya. Katanya, walaupun masalah itu berulang sejak 15 tahun lalu, ulser baharu telah ditemui.

Beliau mendakwa Najib memohon untuk pemerhatian lanjut di HKL tetapi dinafikan dengan doktor membenarkannya keluar (discaj), manakala ubat-ubatannya ditukar daripada ubat biasa yang diambilnya selama bertahun-tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata Najib dimasukkan ke HKL Jumaat lalu sebagai kes elektif (bukan kecemasan). Hisham juga menekankan jenis ubat yang dipreskrib semasa kemasukan wad adalah yang sama jenisnya dan dalam senarai ubatan Kementerian Kesihatan (KKM).

Najib dimasukkan ke hospital, perbicaraan 1MDB ditangguh

Terkini

Berita Berkaitan