Terkini! Najib bagi penampar angin kepada Rafizi, mahu parlimen bahas tuntutan Sulu

Najib Razak senada dengan anggota parlimen pembangkang yang mahukan Dewan Rakyat membahaskan isu tuntutan waris kesultanan Sulu bernilai puluhan bilion ringgit.

Ketika pembangkang mahukan penjelasan kerajaan dan peguam negara, bekas perdana menteri itu bagaimanapun menyasarkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berkuasa 22 bulan sebelum ini.

Dia antaranya membangkitkan persoalan sama ada benar kerajaan PH tidak pernah membincangkan tuntutan itu seperti dikatakan “menteri kereta terbang”.

“Dan menteri kewayangan PH juga tak tahu sekiranya kerajaan PH pernah bayar kepada wakil Sulu atau tidak,” soalnya menyindir sambil memetik laporan media berkaitan.

Sementara itu, persoalan lain dibangkitkan Najib:

  • Bila sebenarnya saman dimulakan?
  • Adakah PH tidak pernah tahu atau pernah meluluskan Tommy Thomas menulis surat kepada kesultanan sulu pada akhir tahun 2019?
  • Adakah surat ini boleh disamakan dengan surat pemangku setiausaha kerajaan Johor pada 1953 kepada Singapura berkaitan pemilikan Pulau Batu Puteh?

    Adakah PH setuju dengan Mahathir Mohamad, mendiang Karpal Singh dan penganalis undang-undang bahawa kita perlu memberhentikan bayaran dan tidak iktiraf tuntutan wakil Sulu?

“Persoalan-persoalan ini patut dijawab agar orang PH tak lepaskan tangan seolah-olah mereka tidak bersalah dan tidak dijadikan bahan untuk mempersalahkan kerajaan BN dahulu ataupun kerajaan hari ini,” katanya.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun semalam menolak usul membincangkan isu rampasan aset Petronas di luar negara, menyebabkan bantahan keras anggota parlimen pembangkang.

Azhar Harun

Waris kesultanan Sulu baru-baru ini menguatkuasakan keputusan timbang tara dengan cuba merampas dua anak syarikat Petronas yang diperbadankan di negara Eropah, Luxembourg.

Awal tahun ini, pemohon berjaya mendapat award sebanyak AS$14.92 billion (RM62.59 billion) daripada kerajaan Malaysia.

Tindakan itu diambil kerana Malaysia menggantung pembayaran tahunan RM5,300 kepada kesultanan Sulu pada 2013 susulan perjanjian era penjajah.

https://www.malaysiakini.com/news/628797

Terkini

Berita Berkaitan