Terkini! Muhyiddin rujuk BN musuh politik, bukan mahu pecah belah umat Islam, kata pemimpin Bersatu

Kenyataan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengisytiharkan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh utama bukan bertujuan memecah belah umat Islam, sebaliknya merujuk kepada “musuh politik”, menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ketua Sayap Bersekutu Bersatu Chong Fat Full, berkata kenyataan Muhyiddin itu hanya mahu mengingatkan BN merupakan musuh untuk ditentang pada PRU15.

Beliau berkata, kenyataan berkenaan juga dikeluarkan buat ahli parti dalam satu majlis politik dan bukannya khusus untuk masyarakat umum.

“Kenyataan itu merupakan salah satu strategi politik Bersatu bagi menaikkan semangat ahli, namun disalah tafsir oleh pihak tertentu.

“Bila disebut musuh, bukan bermaksud kita berperang, namun, ia adalah musuh politik dan pada bila-bila masa pun kita dapat berkawan juga,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Sabtu lalu, Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) dalam ucapan sempena majlis sambutan ulang tahun ke-6 Bersatu, mengingatkan ahli partinya bahawa BN adalah musuh utama gabungan itu yang perlu dilawan, pada PRU15.

Bekas perdana menteri itu berkata, parti komponen dalam PN perlu bergerak sebagai sebuah pasukan dan memiliki hala tuju yang sama, bukan mengeluarkan kenyataan atau pendirian bertentangan.

Semalam, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, berkata partinya tidak boleh menerima pendirian melabelkan kumpulan Melayu Islam yang lain sebagai “musuh utama”, apatah lagi dalam perkara yang melibatkan kedudukan dan kuasa orang Islam.

“Kenyataan seumpama itu lebih-lebih lagi dilihat tidak wajar dan janggal sekiranya pihak yang dilabelkan sebagai musuh utama tersebut adalah rakan muafakat dalam kerajaan yang dipimpin bersama,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Fat Full berkata, sayap Bersekutu Bersatu akan memberi fokus bertanding di kerusi berpotensi ditandingi MCA, MIC, DAP dan PKR.

Muhyiddin rujuk BN musuh politik, bukan mahu pecah belah umat Islam, kata pemimpin Bersatu

Terkini

Berita Berkaitan